LGE Hanya Pandai Cakap Tapi Hakikat PH Gagal Pacu Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai hanya berani bercakap tentang ekonomi negara namun hakikat sebenarnya ekonomi negara sedang tenat.

Jelas beliau, ekonomi negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan tidak menentu dan PH langsung tidak mampu untuk memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

“Semua orang boleh nampak, saya tahu Menteri Kewangan ini berani bercakap sahaja tapi sebenarnya (negara) tidak ada duit.

“Keadaan ekonomi negara ketika ini tidak menentu langsung. Kerajaan pimpinan PH yang ada hari ini tidak mampu mentadbir dan memacu keadaan ekonomi kepada lebih baik malah telah gagal menguruskan keadaan ini dari awal lagi.

“Lihat sendiri bagaimana nilai ringgit merudum, saham jatuh, pelabur lari dan kini pula penjualan aset-aset negara,” ujar beliau ketika ketika menjadi panel dalam forum anjuran Puteri UMNO Malaysia di bawah Biro Strategik Komunikasi yang bertajuk ‘Cabaran Dasar Ekonomi Baru Di Era Malaysia Baru’ di Dewan Tun Ismail, PWTC, semalam.

Tambah beliau, punca keadaan ini terjadi adalah kerana sikap ghairah PH memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga negara telah kehilangan pendapatan sebanyak RM21 bilion setahun.

Selain itu kata Khalid, PH juga dilihat terlalu rakus menjual pelbagai aset negara tanpa memikirkan impak yang bakal dihadapi kelak.

“Bayangkan, mereka kata tidak ada duit dan terpaksa jual aset, bukan sahaja kita tidak ada keupayaan untuk menambah harta negara sebaliknya kita ghairah menjual aset. Kita jual dengan harga murah.

“Cuba fikir apabila sesebuah syarikat yang tahu aset-aset ini sedang di jual dalam keadaan terdesak, pastinya harga itu juga akan di kompromi dan ditawarkan dengan lebih murah daripada harga asal atau yang terkini. Kita juga yang rugi.

“Bila orang tahu syarikat itu mahu bankrap, harganya juga menurun. Janganlah begitu jual harta. Ini seperti jual kain baju kita. Harta sudah tiada, hutang sahaja meningkat,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.