Biadap! Akhbar Cina Papar Gambar Tak Sepatutnya Digesa Mohon Maaf, Tindakan Melampau Batas

KUALA LUMPUR, 22 Sept. – “Biadap. Kebebasan bersuara, menulis atau menyuarakan pandangan bukan bermakna kita boleh berkata atau melakukan apa saja hingga melampaui batas. Apalagi melanggar batas etika kewartawanan.”

Demikian bidas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah terhadap sebuah akhbar dipercayai berbahasa Cina keluaran 19hb September sangat biadap apabila memaparkan gambar Presiden UMNO dan Presiden PAS dalam keadaan yang tidak sepatutnya dilakukan apabila menerbitkan sebuah artikel berkaitan Muafakat Nasional UMNO-PAS.

“Kita minta akhbar ini memohon maaf. Kenapa merasa bimbang atau terancam dengan kerjasama UMNO PAS. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi. Oleh itu tiada kesalahan apa yang UMNO PAS lakukan. Malahan Muafakat Nasional adalah baik untuk pelbagai kaum dalam negara ini,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jika akhbar ini tidak bersetuju dengan Muafakat Nasional, itu pendirian masing masing.

“Namun menerbitkan gambar seolah olah Presiden UMNO dan Presiden PAS melakukan ‘perkahwinan sejenis’ adalah sangat biadap.

“Kita minta akhbar ini memohon maaf diatas tindakannya yang melampau batas. Ini penghinaan kepada UMNO dan PAS,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.