Wawasan 2020 Cetusan Tun M Gagal, Ekonomi Terus Merudum – Zahida


KUALA LUMPUR, 21 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Wawasan 2020 cetusan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 ternyata telah gagal.

Jelas beliau, mengikut wawasan tersebut, Malaysia dikatakan akan menjadi sebuah negara maju dan moden di mana pembangunannya berasaskan perindustrian malah Malaysia dikatakan akan menjadi Harimau Asia yang kelima.

“Namun sayangnya di bawah pentadbiran kerajaan baru iaitu Pakatan Harapan (PH), ianya langsung tidak mencermin ke arah itu di mana ekonomi negara terus merudum.

“Mengikut perancangan Wawasan 2020, Malaysia dikatakan akan mencapai sama taraf dengan negara-nagara yang dipanggil ‘Asian Tigers’, iaitu Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong, tetapi, nampaknya itu tidak akan berlaku. Wawasan 2020 telah gagal dan untuk menutup kegagalan itu mereka perkenalkan pula Wawasan 2030.

“Namun yang peliknya Malaysia akan duduk di bawah negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina. Malaysia berkemungkinan juga akan bersaing dengan negara seperti Laos, Cambodia dan Myanmar untuk mendapat tempat terakhir dan tidak hairan sekiranya rakyat Malaysia terpaksa berhijrah ke Indonesia untuk bekerja sebagai pembantu rumah satu hari nanti,” ujar Zahida.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam forum anjuran Puteri UMNO Malaysia di bawah Biro Strategik Komunikasi yang bertajuk ‘Cabaran Dasar Ekonomi Baru Di Era Malaysia Baru’ di Dewan Tun Ismail, PWTC, hari ini.

Menerusi kenyataan medianya pula Zahida berkata, forum ini diadakan bertujuan membincangkan dan cuba mencari solusi bagi menentukan masa depan ekonomi Bumiputera yang sekarang ini kelihatan masih ketinggalan.

“Dengan tidak ketentuan masa depan ekonomi dunia disebabkan oleh Brexit, perkembangan di Timur Tengah, dan ‘peperangan ekonomi’ di antara negara China dan Amerika Syarikat, keadaan di jangka akan bertambah buruk.

“Perkembangan ini tidak sihat untuk ekonomi Malaysia. Hutang Malaysia pula semakin meningkat. Sementara itu, kerajaan baru di bawah pentadbiran PH telah membazir 16 bulan semenjak mengambil alih kuasa.”

Katanya, mereka tidak membuat kerja mentadbir negara dan membuang masa dengan hanya berpolitik.

“Mereka keluarkan dasar yang karut dan selepas itu membatalnya apabila mereka sedar tentang kesilapan dasar ini. Ini sudah jadi macam orang gila mentadbir hospital orang gila.

“Justeru, Puteri UMNO berpendapat, sudah tiba masanya untuk menghentikan semua kerja gila ini dan kaji apa yang perlu dibuat untuk kebaikan negara. Kita perlu suatu rancangan dan strategi yang wajar supaya kaum Bumiputera tidak akan menjadi mangsa apabila ekonomi dunia mengalami kemerosotan,” tegas beliau lagi.

Untuk rekod, forum ini telah menampilkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai panel.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke forum ini, bolehlah melayari FB UMNO-Online untuk menyaksikan rakamannya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.