Muafakat Nasional Platform Baru Perkasakan Ummah, Bukan Bersifat Perkauman – Norliza

KUALA LUMPUR 21 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata Piagam Muafakat Nasional bukanlah ancaman kepada keselamatan negara atau pemecah belah perpaduan rakyat, tetapi platform baharu untuk memperkasakan parti dan ummah.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) menunjukkan belangnya semenjak memerintah negara, apabila dari hari ke hari semakin mencabar kedudukan hak orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan semakin terancam selain kedaulatan Raja-raja Melayu turut dipersoalkan dan sebagainya.

“Perpaduan ummah ini bermula apabila orang-orang Melayu, Bumiputera dan Islam merasakan bahawa hak-hak mereka semakin hilang dan agama dipermainkan.

“Penghinaan ini berlaku disebabkan orang Melayu tidak bersatu dan berpecah-belah sedangkan bangsa lain semakin bersatu untuk menjatuhkan Melayu dan secara halus menghalau orang Melayu,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Norliza menjelaskan menyedari hal ini maka UMNO dan PAS merasakan ianya harus bersatu dan mengharapkan muafakat dengan bangsa lain demi masa depan negara

Katanya, Muafakat Nasional adalah untuk semua bangsa bagi memastikan negara aman dan terus membangun.

“Kita mempunyai banyak parti untuk kaum masing-masing dan kita mahu menyatukan semua parti lantaran memikirkan masa hadapan keseluruhan rakyat. Muafakat Nasional bukan untuk kepentingan satu kaum atau untuk politik semata-mata.

“Kita dapat lihat sendiri dalam PH walaupun dalam satu pakatan tetapi tidak ada permuafakatan. Dap dengan agenda bangsanya, PKR dengan agenda individu dan PPBM yang memimpin tetapi tiada kuasa.”

Akhirnya kata beliau, kedudukan ekonomi semakin parah, negara akan hancur dan perkauman semakin menegang di bawah pentadbiran PH. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.