Keserasian UMNO dan PAS Semakin Kukuh Untuk Rakyat – Johan Aziz
HULU LANGAT 21 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz berkata selepas pimpinan tertinggi memeterai Piagam Muafakat Nasional, keserasian UMNO dan PAS semakin bertambah akrab.
Katanya, perhubungan ini akan tetap diteruskan walaupun berbagai cemuhan dan kejian yang dilemparkan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap UMNO dan PAS, namun kepimpinan akar umbi terus teguh dengan penggabungan ini.
“Kita akan terus menjalinkan kerjasama dengan PAS, insya-Allah … matlamat utama selain kita bergabung dalam berbagai-bagai bentuk program, saya yakin dan percaya bahawa fokus utama adalah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
“Alhamdulillah di N24 Semenyih kita menang dengan hampir 2,000 undi dan akhirnya dengan jelas kita bersama. Saya harap bukan sahaja program ceramah umum kita bersama dan seterusnya merangka apa jua perencanaan dan program di Hulu Langat,” katanya semasa Ceramah Perpaduan Ummah Peringkat Parlimen Hulu Langat, malam tadi.
Johan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat menjelaskan bahawa beliau yakink dengan usaha bersama maka tentunya Parlimen Hulu Langat serta DUN yang kalah akan dapat dirampas kembali pada PRU 15.
“Kita akan pergi ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk memberi penerangan khususnya berkaitan kezaliman kerajaan PH satu demi satu yang telah terbukti dengan jelas dan wajib kita tumbangkan bersama-sama.
“Bersama-samalah kita berdoa, agar pendekkan usia kerajaan PH… insya-Allah agar kebenaran dapat kembali ditegakkan,” tegasnya lagi – UMNO ONLINE