UMNO dan PAS Kedah Perincikan Corak Kerjasama Di Kedah

ALOR SETAR 20 Sept. – Kedah akan menjadi negeri pertama untuk UMNO dan Pas menentukan corak kerjasama antara kedua-dua parti itu termasuk mencari formula bagi pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini berikutan, Badan Perhubungan UMNO dan Pas negeri bersetuju untuk mengadakan Persidangan Muafakat Nasional peringkat Kedah susulan kejayaan memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Dalam persidangan yang julung kali diadakan selepas di PWTC itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ucaptama selain sesi perbahasan antara kedua-dua parti.

Persidangan pada 28 September ini juga antara lain akan membincangkan lebih lanjut tentang isi kandungan piagam yang dibentangkan Setiausaha Agung kedua-dua parti sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, piagam sama akan dibentangkan sekali lagi oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzhir Khalid pada persidangan itu.

“Kita akan perincikan bagaimana bentuk dan corak kerjasama serta pentadbiran antara UMNO dan Pas, kerana dalam konteks Kedah kita adalah pembangkang.

“Tetapi, kerjasama yang kita susun ini akan dibawa sehingga ke peringkat lebih tinggi termasuk dalam soal pembahagian kerusi untuk ditandingi,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah semalam.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Sementara itu, Jamil Khir menepis dakwaan kononnya persidangan tersebut akan turut membincangkan soal pihak mana di antara pemimpin UMNO dan Pas yang akan menjadi Menteri Besar kelak.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kedua-dua parti tersebut akan meneruskan gerak kerja pengukuhan di peringkat negeri dengan turun ke bahagian-bahagian dan kawasan serta cawangan.

“Jika dilihat pada tarikh-tarikh penting sebelum ini kita bermula pada 27 April dalam satu ceramah perpaduan yang mempertemukan kepemimpinan bahagian dan kawasan.

“Selepas itu pada 22 Ogos kita mengadakan pertemuan antara badan perhubungan negeri sehingga persidangan ini yang merupakan kemuncak pertemuan antara Pas dan UMNO negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.