Sekali Lagi LGE Terpalit Isu Salah Guna Kuasa… Bila PM Nak Ambil Tindakan?
NIBONG TEBAL, 20 Sept – Sekali lagi Lim Guan Eng terpalit isu salah guna kuasa.
Terbaru adalah berkaitan sepucuk surat bertarikh, 26 Julai 2019 di mana Menteri Kewangan didakwa bersetuju dengan penganugerahan projek secara rundingan terus yang diberi kepada sebuah syarikat untuk pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong, Kelantan bernilai RM450 juta tersebar di media sosial.
Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail berkata, ini bukan kali pertama Guan Eng terlibat dengan isu berkaitan salah guna kuasa termasuk kes rasuah namun setiap kali itu juga dia ‘terlepas’ dan tiada siasatan mahupun tindakan yang dikenakan.
“Jawatan Menteri Kewangan adalah antara jawatan terpenting dalam negara. Sepatutnya, apabila terdapat banyak tuduhan yang dilemparkan kepada Menteri Kewangan maka kerajaan harus menyiasat dakwaan tersebut.
“Guan Eng sendiri sentiasa bermegah dan bercakap besar mengenai ketulusan tetapi bila terkena batang hidung mengapa tidak ada satu pun ketelusan? Maka saya mendesak Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad agar mengambil tindakan segera.
“Jika masih tidak ada tindakan yang dikenakan kepada Guan Eng maka terbuktilah tuduhan yang mengatakan Tun ‘puppet’ kepada Dap adalah benar,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Norhiesam, sekiranya benar dakwaan Guan Eng bahawa dirinya tidak mengetahui berkaitan kelulusan tersebut maka dia harus segera melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Kalau benar tidak terlibat, buatlah laporan cepat agar perkara ini boleh disiasat. Jangan nanti isu ini terus ‘didiamkan’ seperti kes-kes yang lain.
“Maklumlah, sekarang ini undang-undang negara juga semakin diragui kerana terlalu banyak ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba mencampuri hal-hal yang tidak sepatutnya,” sidir beliau.
Untuk rekod, sebelum ini Guan Eng pernah beberapa kali dikatakan terlibat dengan masalah salahguna kuasa dan rasuah.
Antaranya adalah kes penjualan tanah seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin (ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang), kes terowong dasar laut yang sehingga kini masih tidak mendapat sebarang jawapan dan kes rumah pembelian rumah banglo. – UMNO ONLINE