Kongres Hanya Retorik… Hakikatnya Tidak Pernah Bela Melayu, Berhentilah Jadi Alat Dap

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, usahlah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya menunjuk kononnya mahu membela Melayu dengan menganjurkan ‘Kongres Maruah Melayu’ kerana hakikatnya parti Bersatu tidak membela Melayu.

Tegasnya, melihat kepada cara pentadbiran dan pendekatan Kerajaan PH yang diketuai oleh Bersatu, ternyata mereka tiada kemampuan membela kepentingan Melayu di negara ini.

“Dalilnya cukup banyak. Kedudukan agama Islam terganggu, kepentingan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera semakin dihakis. Kedaulatan Raja Melayu dipermainkan. Pendidikan dan kebajikan Melayu semakin tidak dibela dan banyak lagi kalau hendak dituliskan. Semua ini berlaku sejak Kerajaan PH memerintah negara,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau.

Justeru ujarnya, ini bukan masa Bersatu atau Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkongres lagi sebaliknya ini masa bekerja untuk membela rakyat.

“Kongres ini hanya retorik. Apalagi digerakkan oleh individu yang meninggalkan perjuangan kerana masalah dan kepentingan diri. Berhentilah dari menjadi alat Dap untuk memecahbelahkan orang Melayu.”

Ujar beliau, penganjuran Kongres Maruah Melayu tidak menggunakan parti Bersatu walaupun dianjurkan pimpinan mereka juga bukti Bersatu tidak berani ke depan memperjuangkan kepentingan Melayu.

“Saya percaya Dap akan berdiam diri atas penganjuran Kongres Melayu ini kerana itulah tujuan Lim Kiat Siang cadangkan pada Tun Mahathir agar ditubuhkan Bersatu, supaya parti Bersatu boleh memecahbelahkan Melayu bagi menguntungkan Dap.

“Saya harap dan yakin majoriti orang Melayu boleh menilai. Kongres Maruah Melayu ini hanya gimik bagi menandingi Muafakat Nasional.

“Justeru, kepada pimpinan Bersatu yang mengetuai Kerajaan PH. Untuk apa Kongres Maruah Melayu? Kuasa sudah ditangan anda. Gunakanlah demi kepentingan dan maruah Melayu. Bertindaklah. Jangan terus dibiarkan pelbagai kepentingan dan maruah Melayu dirosakkan”

Soal beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong, tidak sedarkah orang Melayu semakin hilang maruah dibawah Kerajaan PH? – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.