Video Seks Luar Tabii: Sekretariat Suara Rakyat Serah Laporan Forensik Kepada Kedutaan Rusia, Indonesia

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Sekretariat Suara Rakyat Malaysia hari ini menyerahkan salinan laporan siasatan pakar forensik berhubung video seks luar tabii yang dikaitkan dengan menteri kabinet kepada kedutaan Rusia dan juga kedutaan Indonesia.

Laporan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam dan turut disertai oleh Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Ali.

Namun begitu, Lokman memaklumkan pihak kedutaan Rusia tidak menerima laporan berkenaan dan situasi sebaliknya di kedutaan Indonesia apabila pihak kedutaan menerusi Setiausaha Keduanya, Winda Wijayanti menerima salinan laporan tersebut.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Malaysia, Datuk Seri Mohamad Ali sejurus keluar daripada kedutaan Indonesia mengucapkan terima kasih kepada kedutaan negara berkenaan yang menerima salinan forensik berkenaan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ibu Winda Wijayanti yang menerima kunjungan kita dan seterusnya dapat menyerahkan laporan forensik yang berkaitan,” katanya pada sidang media di luar kedutaan Indonesia, di sini, hari ini.

Terdahulu pada sebelah pagi, Sekretariat Suara Rakyat berusaha menyerahkan salinan laporan berkenaan kepada kedutaan Rusia.

Pengerusi Sekretariat, Datuk Lokman Noor Adam dalam sidang akhbar awalnya memberitahu, hari ini mereka menyerahkan salinan laporan daripada Forden Forensic UK kepada kedua-dua kedutaan berkenaan dan pihaknya akan pergi kepada semua kedutaan.

“Harus dijelaskan kenapa kita pergi ke kedutaan-kedutaan ini. Pertama apabila kita sudah membuat laporan polis pada 11 Jun yang lalu, sekarang sudah melebihi tiga bulan tidak ada sebarang tindakan dan pendakwaan dilakukan.

“Mereka langsung tidak ada rasa malu, tidak ada rasa aib untuk mempertahankan seorang menteri yang sudah pun didapati terang-terang melakukan jenayah di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada masa yang sama Lokman turut melahirkan kekecewaan apabila laporan tersebut tidak diterima oleh pihak kedutaan Rusia.

“Agak mengecewakan hari ini kerana salah seorang daripada pegawai kedutaan… saya tanya dengan beliau adakah beliau menolak laporan ini setelah merujuk kepada duta. Ini kerana beliau tidak buat begitu.

“Saya yakin kalau duta daripada Rusia ini tahu tentang benda ini, sudah pasti beliau akan menerima paling kurang boleh tahu siapa Azmin Ali,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.