Muafakat Nasional, Tun Faham Atau Tidak Itu Tidak Penting… Lebih Elok Jaga PH Yang Tak Ketahuan Haluan


KUALA LUMPUR, 19 Sept. – “Mudah saja untuk memahaminya, cuma Tun saja buat-buat tidak faham untuk menyedapkan hati Tun yang gundah gulana ekoran wujudnya Muafakat Nasional.”

Demikian ulas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliau tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan PAS, sedangkan parti itu sebelum ini pernah menggelarkan UMNO sebagai ‘kafir’.

Kata Shamsul Anuar, tiada keperluan pun untuk Tun memahami Muafakat Nasional.

“Lebih elok Tun jaga Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak ketahuan haluannya sekarang. Ringgit susut kepada RM4.18 berbanding US Dollar dan Bursa Saham jatuh sehingga 1,600.94 mata ketika ini. Pelabur lari dan rakyat semakin tertekan.

“Kami hairan Bon Samurai diambil, aset dijual dan yang terbaru Khazanah dilaporkan berada didalam fasa akhir penjualan pegangannya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports, tapi hutang negara kian meningkat. Ekonomi merudum juga?

“Tun bagi alasan, jual aset kerana hendak bayar hutang. Makin kurangkah hutang negara ? Tun jangan ingat rakyat tak tahu menilai,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sebab itu katanya, sebenarnya yang kita pelik adalah sikap Tun.

“Apa yang Tun tak kata pada Dap dan Anwar Ibrahim dulu? Sekarang berpelukan!

“Justeru pada saya, Tun faham atau tidak ia tidak mustahak bagi kami. Apa yang penting, pimpinan dan ahli UMNO PAS memahami serta menyokongnya. Malah rakyat jelas menyokong Muafakat Nasional. Ini lebih penting,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.