Jerebu: Nak Ikut Arahan Siapa?

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting mempersoalkan arahan siapa yang perlu dipatuhi ibu bapa berhubung penutupan sekolah akibat keadaan jerebu yang semakin buruk melanda di beberapa negeri.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan dalaman dahulu sebelum mengeluarkan keputusan muktamad berhubung perkara itu.

Jelasnya, situasi itu penting supaya tidak menimbulkan kekeliruan terhadap ibu bapa sekali gus mengelakkan keadaan huru-hara apabila banyak pihak yang mengeluarkan arahan berbeza.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata tiada keperluan untuk menutup semua sekolah sehingga Jumaat ini kerana perlu mengikut Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa bagi sesebuah kawasan.

“Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pula memberi kebenaran kepada pengetua dan guru besar untuk mengumumkan penutupan sekolah sekiranya pada pandangan mereka keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan trend IPU hari tersebut, manakala, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah mengeluarkan arahan penutupan sekolah sehingga Sabtu ini.

“Menteri Kabinet mesti mempunyai mesej yang sama melalui ‘kumpulan perbualan’ sendiri bagi menyelaras keseragaman dan komunikasi antara organisasi kerajaan bagi mengelakkan keputusan yang mengelirukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nicole berkata, tindakan kerajaan itu sekali gus menggambarkan ketidakupayaan dalam mengendalikan krisis dan kelemahan itu hanya memburukkan lagi keadaan.

“Kerajaan mesti mempunyai cara yang seragam untuk menyebarkan maklumat bagi mengelakkan keadaan menjadi kacau-bilau apabila pihak berautoriti berlainan mengeluarkan arahan yang berbeza.

“Di samping itu, kerajaan tidak seharusnya memandang ringan kesihatan pelajar dan guru dengan memutuskan penggantungan kelas sesuka hati, sebaliknya, mereka perlu merancang dengan sewajarnya termasuk sama ada mengadakan kelas gantian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE