‘Isytihar Darurat, Jangan Tunggu IPU 500’

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Kerajaan tidak perlu menunggu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga 500 untuk mengisytiharkan darurat bencana berikutan keadaan jerebu yang melanda negara ini.

Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah berkata, kerajaan harus memastikan 
kesihatan dan keselamatan rakyat berada ditahap yang baik dan selamat tanpa memperjudikan nyawa mereka.

“Ini membahayakan kesihatan rakyat kerana IPU yang dicatatkan oleh Jabatan Alam Sekitar daripada 200 hingga 300 adalah sangat tidak sihat melakukan aktiviti luar dalam jangka masa lama, manakala bacaan IPU 300 ke atas pula berbahaya, bayangkan jika sudah mencecah 500, sudah tentu membahayakan nyawa rakyat,” tegas beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mengumumkan bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat pada bacaan IPU mencecah 500.

Tambah Murugiah, ketika ini jumlah kes pesakit yang menghidap asma, demam dan batuk semakin meningkat di hospital dan klinik di seluruh negara.

“Jika kerajaan mahu menunggu hingga bacaan IPU mencecah 500 baharu mahu mengisytihar darurat sudah terlewat, mereka harus peka dengan nasib rakyat.

“Apa yang penting ketika ini, kerajaan harus memperbanyakkan pembenihan awan di semua kawasan terjejas,” ujarnya.

Katanya, langkah itu bagi membantu masalah jerebu dapat diatasi dan rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya harap kerajaan tidak memandang isu pembenihan awan ini sebagai remeh kerana ia penting bagi memastikan keadaan terkawal,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.