Isu Roboh Rumah, UMNO Akan Bawa Usul Bertulis Ke Sidang DUN Nov Ini

PAYA JARAS, 19 Sept – Ketua Pembangkang Negeri Selangor Rizam Ismail berkata, UMNO akan membawa usul berkaitan penindasan kerajaan negeri terhadap penduduk Kampung Paya Jaras Hilir yang mana rumah mereka dirobohkan ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 November ini.

Selain itu jelas beliau, UMNO Selangor juga telah menyediakan khidmat guaman bagi mewakili penduduk yang teraniaya agar hak mereka terbela.

“Jika masih tidak ada sebarang tindakan dari pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat maka pihak peguam yang disediakan oleh UMNO Selangor akan membawa permasalahan ini ke peringkat perundangan. Kita perlu memberi pengajaran kepada kerajaan negeri agar perkara seperti ini tidak berulang kepada orang lain pula.

“Saya sedih melihat mereka ini seakan merempat di negara sendiri. Tindakan kerajaan negeri ini jelas menunjukkan mereka tidak ada sifat kemanusiaan,” ujar beliau kepada media selepas melawat penduduk yang terbabit di kampung berkenaan.

Tambah Rizam, sepatutnya perkara seperti ini tidak wujud apatah lagi di negeri Selangor yang dikenali sebagai negeri maju.

“Selangor adalah negeri maju jadi tidak sepatutnya wujud sikap layanan tidak berperikemanusiaan kepada mereka di mana kita sedia maklum antara mangsa yang terbabit telah ada geran tetapi dinafikan hak mereka.

“Mereka dijanjikan Rumah SelangorKu apabila kerja-kerja perobohan ini dilakukan tetapi sehingga kini rumah tersebut tidak siap lagi. Jadi tidak ada tempat tinggal sementara yang disediakan. Lebih–lebih lagi dalam keadaan jerebu, tindakan kerajaan negeri amat zalim.

“Apa yang terjadi adalah satu kekejaman dan penindasan kepada rakyat… inilah sikap kerajaan negeri yang hanya pandai tabur janji manis tapi bila sudah jadi pemimpin, nasib rakyat tidak diendahkan,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.