Lim Kit Siang, Dap Tak Layak Bercakap Soal Perpaduan Sering Mainkan Isu Perkauman – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Penasihat Dap, Lim Kit Siang tidak layak untuk bercakap tentang perpaduan kerana parti Dap itu sendiri mengamalkan perkauman walaupun selama ini menekankan aspek kepelbagaian dalam piagam mereka.
Malah bidasnya, Kit Siang dianggap rasis oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu sewaktu di dalam UMNO dengan berkata Kit Siang dan Dap adalah rasis dan ia tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang sebagaimana kenyataan Tun Dr. Mahathir itu.
“Selama ini yang memainkan isu perkauman adalah Dap. Isu kecil seperti tulisan Jawi pun mereka mainkan dan jadikan isu perkauman.
“Jadi yang bersifat perkauman selama ini adalah Dap.
“Kelmarin, Kit Siang kata kerjasama UMNO dan PAS akan memburukkan lagi politik toksik kaum dan agama,” tegasnya dalam satu kenyaataan di sini hari ini.
Sabtu lalu sejarah politik tanah air tercipta apabila dua buah parti terbesar orang Melayu/Islam menunjukkan kesepakatan merealisasikan agenda perpaduan ummah apabila secara rasminya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam Muafakat Nasional.
Jelas Ismail yang juga Ketua Pembangkang, Muafakat Nasional dibentuk atas dasar mahu memperkukuhkan agama Islam dan orang Melayu yang tertekan serta tercabar dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Muafakat ini juga bukan sahaja menjadi benteng dalam menjaga kebajikan orang Melayu tetapi juga kaum lain yang berada dalam negara ini.
“Kit Siang tak usahlah menakut-nakutkan rakyat khususnya kaum bukan bumiputera untuk melihat Muafakat Nasional sebagai satu ancaman kepada kaum dan agama lain. Tiada apa yang perlu ditakutkan,” tambahnya lagi.
Seterusnya, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata penyatuan ini juga menjaga kepentingan kaum-kaum lain dan boleh dilihat kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu malah parti politik bukan Melayu yang menunjukkan sokongan serta menyaksikan acara tandatangan piagam di Himpunan Penyatuan Ummah Sabtu lalu.
Kerana itulah katanya, reaksi Kit Siang dan kebimbangan Dap semakin terserlah selepas melihat orang Melayu yang banyak membantu kemenangan PH dalam pilihan raya lepas tidak lagi merasakan kerajaan sedia ada mampu mempertahankan nasib bangsa Melayu dan Islam. – UMNO ONLINE