Tolak Dakwaan Rasis, Muafakat Nasional Dapat Sokongan Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menolak tanggapan pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa apa yang dilakukan UMNO-PAS bersifat perkauman atau rasis kerana dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Jelas beliau, Muafakat Nasional lebih baik daripada PH dan majlis yang bermakna pada 14 Sept lalu adalah permulaan kepada langkah yang lebih jauh selepas ini.

“Kesungguhan, semangat, kekuatan dan sokongan akar umbi antara penyebab Piagam Muafakat Nasional dapat ditandatangani oleh Presiden UMNO dan Presiden PAS,” jelasnya dalam ucapan ketika Program Ziarah Rakyat Parlimen Lenggong, semalam.

Maknanya, kata beliau, UMNO dan PAS boleh bekerjasama kerana keikhlasan serta kesungguhan pimpinan atasan kedua parti yang kemudian sokongan pimpinan dan ahli parti diakar umbi sangat kuat, maka ianya memudahkan apa yang dirancang.

“Lebih istimewa pelbagai NGO turut menyokong usaha baik yang dilakukan UMNO PAS ini. Apapun, penting untuk diketahui bahawa majoriti rakyat khususnya orang Melayu Islam Bumiputera walaupun mereka bukan menjadi ahli UMNO atau PAS turut bersama dan menyokong,” katanya.

Malah terang beliau, pimpinan tertinggi dari komponen Barisan Nasional, Gagasan Sejahtera dan ramai lagi pihak lain hadir menyaksikan peristiwa bersejarah yang diyakini akan mencorakkan landskap baru iklim politik dalam negara ini.

“Kerana itu, pimpinan dan ahli UMNO serta penyokong UMNO semua peringkat diharap akan terus memberikan sokongan kepada Muafakat Nasional.

“Muafakat Nasional bukan hanya untuk Islam, Melayu dan Bumiputera sebaliknya untuk rakyat Malaysia,” ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.