Tak Masuk Akal… Menteri ‘Setahun Jagung’ Cetus Polemik Tapi Salahkan Penjawat Awam, Bidas Ahmad Said


KUALA LUMPUR, 17 Sept – Dakwaan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik wujud unsur sabotaj yang dilakukan oleh penjawat awam sehingga mencetuskan kekeliruan isu penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah tidak masuk akal, bidas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Bahkan katanya dalam satu hantaran di Facebook, seolah-olah menjadi sifat pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyalahkan orang lain atas kelemahan mereka.

“Simptom menyalahkan pegawai kerajaan adalah jalan keluar yang mudah untuk atasi masalah tidak berapa cerdik dan wajar dihentikan.

“Sikap kurang senang PH dengan penjawat awam sudah menjadi budaya pentadbiran dan sebelum ini Perdana Menteri sendiri pun mahu kurangkan jumlah kakitangan di sektor kerajaan,” tambahnya.

Mengulas lanjut bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata isu sebenar bukan pendedahan penjawat awam yang menjadi fokus tapi kenyataan kerajaan melalui menteri yang akan menyatukan universiti menjadi isu, lalu mencetuskan polemik.

“Hentilah budaya membenci penjawat awam kerana anda yang baru setahun jagung mentadbir negara tidak akan ke mana tanpa perlaksanaan oleh anggota perkhidmatan awam.

“Bahkan pentadbiran negara tidak akan berjalan baik jika nakhoda tidak sehaluan dengan kelasi,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu lagi. – UMNO ONLINE