Ratusan Juta Ringgit Diperlu Persiap Pembangunan Perlis Selari Negeri Maju Lain – MB Perlis

KANGAR, 17 Sept – Ratusan jutaan ringgit diperlukan Kerajaan Negeri dalam usaha mempergiat projek-projek pembangunan di negeri ini serta mempersiapkan negeri ini selari dengan negeri maju yang lain.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, projek sedia ada di negeri ini seperti Pelabuhan Darat Perlis (PIP-Perlis Inland Port), Jeti Sanglang dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) masih memerlukan suntikan kewangan daripada Kerajaan Pusat.

“Saya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat berapakah jumlah yang diperlukan. Apa yang boleh saya katakan projek mega yang sedang berjalan di negeri ini memerlukan ‘sokongan infra daripada Kerajaan Persekutuan di samping disegerakan peruntukan dalam melaksanakan agenda pembangunan di negeri ini,” kata Azlan.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen Kibarkan Jalur Gemilang Di Puncak-Puncak Bukit di negeri Perlis sempena Hari Malaysia yang melibatkan sembilan buah bukit yang diadakan di Gua Cenderawasih (Bukit Lagi) semalam.

Azlan diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan Perlis, Kedah dan Kelantan antara negeri termiskin di negeri ini dan perlu diberi perhatian menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama. Secara umumnya terdapat jurang antara negeri-negeri.

Menurut Azlan, meskipun projek yang dijalankan dengan kerjasama pihak swasta, namun prasarana awam diperlukan seperti jalan raya dan ‘flyover’. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.