Muafakat Nasional Perjuangan Untuk Generasi Masa Hadapan – Shahrir


KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata generasi muda adalah penyambung perjuangan yang akan mewarisi sesebuah negara.

Justeru, katanya yang mustahak dalam perjuangan ini ialah untuk kepentingan generasi yang akan datang, rakyat, negara dan memperkukuhkan lagi jati diri serta  mempertahankan Perlembagaan negara.

“Kita lihat bagaimana UMNO dan PAS bersatu dengan parti-parti lain dalam Barisan Nasional (BN) dan itulah kali pertama dimana adanya penyatuan dan persefahaman mengenai bagaimana negara harus dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada masyarakat dan generasi yang akan datang.

“Alhamdulillah… inilah caranya dan hasil yang baik akan memberi manfaat kepada rakyat, memberi faedah kepada negara dan inilah caranya iaitu dengan mengadakan perpaduan dalam dua kumpulan yang terbesar bagi orang Melayu dan Islam,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kejayaan #HPU914 sehingga termetrainya Piagam Muafakat Nasional.

Shahrir menjelaskan, kaedahnya adalah penyatuan dua parti yang kuat, mempunyai ideologi perjuangan politik dan berteraskan kepada Perlembagaan.

“Ini adalah intipati politik sebenarnya… ini bukannya soal siapa yang patut berkuasa dan siapa yang menjadi menteri ataupun apa habuan yang nak diberikan kepada mereka yang sudah menang?

“Kita sebagai pembangkang juga mewujudkan satu pakatan, satu gabungan yang boleh menjurus kepada arah mana adanya politik semak dan imbang dan ianya memang sihat untuk demokrasi negara. Daripada berperang, bergaduh dan bertelingkah lebih baiklah bersatu hati,” jelasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.