Kerajaan Pahang, Shell Malaysia Tandatangani MoU Pulihara Hutan

KUANTAN, 17 Sept – Kerajaan negeri Pahang hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Shell Malaysia Bhd bagi menjalankan kajian bersama mengenai usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan negeri ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kajian yang akan dijalankan dalam tempoh sembilan bulan itu dilihat bakal membawa kesan positif terhadap keadaan alam sekitar sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan negeri mengakui usaha pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem semulajadi hutan dan tanah lembab boleh mengurangkan kesan gas rumah hijau,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Kerajaan negeri Pahang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak manakala Shell Malaysia diwakili Pengerusinya Datuk Iain (repeat Iain) Lo.

Wan Rosdy berkata sepanjang tempoh kajian, kerajaan negeri dan Shell akan menubuhkan jawatankuasa bersama untuk menilai potensi dan keupayaan dalam melaksanakan projek bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan itu.

Beliau berkata pemilihan Pahang juga disebabkan negeri ini adalah penyumbang terbesar kawasan berhutan dalam kalangan negeri di semenanjung Malaysia.

“Daripada 3.6 juta hektar keluasan Pahang, 2.057 juta hektar adalah kawasan masih berhutan dengan 258,952 hektar daripadanya adalah kawasan tadahan air.

“Oleh itu, Pahang dilihat mempunyai potensi besar untuk menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang dapat memanfaatkan ekosistem yang penuh kepelbagaian di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Iain berkata berkata pihaknya berharap untuk mengenalpasti projek yang boleh dilaksanakan bagi pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negeri ini sepanjang kajian ini dijalankan.

“Kami berharap untuk mengenalpasti projek yang lestari dan berupaya dilaksanakan daripada aspek kewangan, untuk dijalankan bagi tujuan ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.