Kepelbagaian Masyarakat Seharusnya Jadi Kekuatan Negara – MB Pahang

MARAN, 17 Sept – Kepelbagaian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya seharusnya menjadi kekuatan negara, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata soal perpaduan bukan perkara yang boleh dipandang ringan dan perlu sering diingatkan khususnya kepada golongan muda yang akan mewarisi pentadbiran negara masa depan.

“Bagaimanapun, bila kita bercakap tentang pentingnya memelihara perpaduan, ada yang bersikap sinis dan mendakwa kita sekadar retorik mengenainya… seolah-olah kita masih mahu mendendangkan lagu lama.

“Sedangkan kita bukan suka-suka untuk melakukannya. Seperti kata orang sejarah boleh berulang termasuklah sejarah hitam jika kita tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghalang perkara buruk ini daripada berlaku.

“Dalam soal memelihara perpaduan, kita tidak boleh jemu untuk bercakap isu ini, tambahan pula ada segelintir rakyat mempunyai pemikiran singkat,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah yang dihadiri lebih1,000 rakyat pelbagai kaum, semalam.

Tindakan saling mengingatkan perpaduan itu juga menurut Wan Rosdy, mustahak supaya negara kita tidak kembali terjebak semula kepada perbuatan yang boleh memudaratkan negara.

“Dalam keadaan kita mahu memelihara perpaduan, masih timbul isu yang boleh mengugat dan mengancam asas perpaduan. Untuk menghadapinya, kita hendaklah rasional dan budiman supaya isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Wan Rosdy berkata selain memupuk perpaduan, sambutan Hari Malaysia juga merupakan platform penting untuk menyemai semangat cintakan dan mempunyai rasa tangungjawab kepada negara dalam kalangan rakyat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.