UMNO-PAS Lakar Peradaban baru, Bukan Jerumus Dalam Politik Perkauman – Jamil Khir
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melahirkan rasa teruja dengan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata bahawa penyatuan UMNO-PAS melakar suatu peradaban iaitu sejarah penyatuan antara dua parti terbesar yang tidak pernah kita fikirkan akan berlaku selama ini.
Katanya, pastinya kedua-dua parti merasakan ada keperluan untuk memastikan masa depan negara terus lebih bermaruah dan tidak dipersendakan di peringkat antarabangsa.
“Sepertimana yang disebutkan oleh Presiden, kita mahu negara ini, kembali menjadi harmonis, sejahtera dan terus diredhai oleh Allah SWT. Kita tidak mahu kerajaan sekarang terus menghancurkan apa yang sudah dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional.
“Saya melihat tarikh hari ini teramat penting kerana ia seperti termeterai apabila peristiwa Aamul Jamaah atau Tahun Penyatuan iaitu penyatuan dua golongan dari pendukung Saidina Ali Karramallahu Wajhah dan pendokong Saidina Muawiyah R.A. Penyatuan ini berlaku pada 41 Hijrah.
“Kini setelah 1,400 tahun berlalunya Aamul Jamaah itu, di negara tercinta ini kembali mengambil semangat penyatuan ummah pada 14 September 2019,” katanya dalam kenyataan media.
Selaras dengan itu, beliau yakin permuafakatan ini bukan berhasrat menjerumuskan UMNO dan PAS ke arena politik perkauman, sebagaimana tohmahan liar yang dilemparkan oleh beberapa pihak kebelakangan ini.
“Rakyat negara ini harus melihat permuafakaan ini, pendekatan yang berpandangan jauh demi kepentingan semua. Sebagai parti yang sudah masak dengan agenda perpaduan kaum, UMNO dan PAS tentu memastikan penyatuan ini, bukan untuk memisahkan, menjarakkan atau memusuhi mana-mana kaum dan agama dalam negara tercinta ini.
“Umno dan PAS yakin berbekalkan pengalaman pentadbiran dan pengusan negara yg panjang iaitu selama 62 tahun disamping pengalaman Pas mentadbir Kelantan lebih 25 tahun. Pas dan Umno berkeyakinan gabungan akan mampu membawa Malaysia kesebuah negara maju ekonominya dan harmoni kehidupannya,” katanya lagi. – UMNO ONLINE