Piagam Muafakat Nasional UMNO – PAS Kembalikan Kuasa Melayu & Islam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya
Penyatuan Ummah yang terjalin dengan termeterai Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS semalam akan mengembalikan kuasa Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau seterusnya berharap pemuafakatan nasional ini akan memperkasakan umat Melayu dan Islam di dalam menghadapi dan menjadi benteng kepada agenda jahat pihak-pihak tertentu.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan jayanya Piagam Muafakat Nasional berjaya dimeterai dan disaksikan oleh puluhan ribu ahli UMNO dan PAS, NGO serta orang ramai di dalam dan luar Dewan Merdeka, PWTC serta ratusan ribu melalui LIVE Facebook atas nama kebangkitan ummah Melayu dan Islam.

“Semangat yang dipamerkan oleh ahli UMNO dan PAS menderu ke dasar jiwa, memperlihatkan bahawa semangat Melayu dan Islam itu kuat setelah kita bersatu padu”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam 14 Sept tercatat sejarah yang cukup besar apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan di Dewan Merdeka pada Himpunan Penyatuan Ummah hari ini.

Setiausaha Agung UMNO dan PAS menjadi saksi kepada majlis tandatangan berkenaan. –UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.