Muafakat Nasional Permulaan Rasmi Untuk UMNO-PAS Melangkah Lebih Jauh

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, piagam kerjasama yang ditandatangani antara UMNO dan PAS semalam adalah satu permulaan rasmi untuk kedua-dua parti ini melangkah lebih jauh.

Jelas beliau, piagam yang kini dikenali sebagai Muafakat Nasional bakal membela umat Melayu Islam, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya dalam menghadapi suasana cabaran yang cukup getir ketika ini.

“Apa yang berlaku hari ini (semalam) di Dewan Merdeka adalah permulaan secara rasmi untuk melangkah lebih jauh.

“Dalam keadaan kerajaan hari ini yang dengan jelas tidak memberi pembelaan yang sewajarnya kepada orang Islam dan rakyat secara keseluruhannya maka Muafakat Nasional akan menjadi harapan kepada semua rakyat,” jelas beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam Wacana Himpunan Penyatuan Ummah yang bertajuk ‘Piagam Muafakat Nasional’ malam tadi.

Tambah Shamsul, Muafakat Nasional ini bukan sahaja satu harapan baru kepada orang Melayu Islam tetapi juga kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Selain jelas beliau, Muafakat Nasional juga akan mengemukakan apa yang lebih baik daripada kerajaan hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat Kamaruzaman Mohamad pula berkata, apa yang berlaku semalam adalah yang diimpikan oleh semua umat Islam.

“Saya sendiri mengalir air mata… sebak bukan kerana merasakan boleh menjatuhkan kerajaan yang zalim tetapi persaudaraan yang selama ini terpisah bertaut kembali.

“Bila umat Islam dari dua parti terbesar boleh berbincang sedangkan dulu tidak boleh bertindan bayang… kalau berjumpa nak Bergaduh tapi hari ini boleh berada dalam satu dewan berbincang bersama.

“Kerjasama UMNO dan PAS ini adalah satu rahmat yang amat besar maka saya melihat walaupun sebelum ini banyak sejarah yang berlaku antara kedua-dua parti tapi hari ini bermula satu sejarah baru di mana persaudaraan dipertautkan semula dan yang dijanjikan adalah kebangkitan umat Islam yang ketika ini jelas dilihat umat Islam berasa tertekan dengan pelbagai isu,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.