Muafakat Nasional: Ke Arah Martabat Perpaduan, Kembalikan Kestabilan Sosial Dan Ekonomi
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun melihat permuafakatan UMNO-PAS merupakan satu titik tolak ke arah memartabatkan perpaduan negara menjadi lebih baik dan mengembalikan kestabilan sosial ekonomi yang lebih kukuh.
Katanya, beliau yakin permuafakatan ini bukan berhasrat menjerumuskan UMNO dan PAS ke arena politik perkauman dan bukan berkepentingan politik semata-mata sebagaimana tohmahan liar yang dilemparkan oleh beberapa pihak kebelakangan ini.
“Rakyat negara ini seharusnya melihat permuafakatan ini, sebagai suatu pendekatan yang berpandangan jauh demi kepentingan kesemua kaum.
“Sebagai parti yang sudah masak dengan agenda perpaduan kaum, UMNO dan PAS tentu memastikan penyatuan ini, bukan untuk memisahkan, menjarakkan atau memusuhi mana-mana kaum dan agama sebaliknya mengukuhkan lagi hubungan baik sesama insan (ummah) di dalam negara yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap permuafakatan ini di sambut baik di semua peringkat sehingga ke akar umbi dan di setiap lapisan masyarakat.
“Sekiranya berlaku perselisihan faham harap dapat ditangani dengan cara yang penuh hikmah dan semoga hubungan ini dapat berkekalan selamanya seperti yang telah diamanatkan oleh Tuan Presiden,” katanya lagi. – UMNO ONLINE