Muafakat Nasional Harapan Baru Bukan Sahaja Melayu Islam, Tapi Untuk Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa penyatuan ummah yang kini dikenali sebagai Muafakat Nasional adalah satu harapan baru bukan sahaja orang Melayu Islam tetapi juga buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

Beliau berkata demikian bagi menjelas dan memperbetulkan kekeliruan yang mungkin timbul susulan laporan akhbar Berita Harian bertajuk “Penyatuan UMNO-PAS untuk menang PRU – Noraini” yang disiarkan pada Jumaat, 13 September 2019 yang lalu.

“Cara laporan itu ditulis oleh Berita Harian seolah-olah menggambarkan bahawa Wanita UMNO menyifatkan penyatuan ummah dengan PAS ‘bersifat sementara’ dan semata-mata hanya untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sahaja. Ia tidak menggambarkan agenda keseluruhan tujuan penyatuan ummah seperti dihasratkan kedua-dua parti berkenaan.

“Berita Harian seolah-olah sengaja mensensasikan tajuk dan cara laporan. Ia mungkin strategi pemasaran namun cara tersebut mengundang persepsi buruk rakyat terhadap penyatuan UMNO dan PAS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, dalam sesi sidang media tersebut, pihak media telah bertanya pandangan mengenai siapa Perdana Menteri seperti disuarakan Lim Kit Siang.

“Saya menjawab dengan melontarkan soalan kembali iaitu apakah ini bermakna Kit Siang mengakui yang PH hanya kerajaan sepenggal? Kemudian saya katakan… ‘beginilah… mana-mana parti pun kalau ianya parti politik, kalau berjuang mestilah ada matlamat nak menang dalam PRU akan datang. Menang PRU-15 hanya salah satu agenda penyatuan berkenaan, bukan satu-satunya agenda penyatuan’.

“Saya juga ada menyebut bahawa penyatuan itu menawarkan keharmonian dan perpaduan di negara ini. Kita menawarkan keharmonian penyatuan dan perpaduan, tanpa mengenepikan bangsa-bangsa serta kita sentiasa meraikan kepelbagaian.

“Kita juga mahu membuktikan kita pembangkang yang berkaliber, tidak pernah buat kacau sebaliknya menyeru kepada perpaduan. Semua ini dilaporkan media lain kecuali Berita Harian yang hanya memetik penyatuan itu untuk PRU-15 sahaja sedangkan itu hanya salah satu matlamat yang saya suarakan.”

Soal beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, parti politik mana yang berjuang untuk kalah?

“Semua parti politik berjuang untuk menang. Allah dah tunjukkan jalan dan penyatuan ini adalah satu hikmah selepas PRU-14, Insya-Allah.

“Maka saya amat berharap agar Berita Harian lebih beretika dalam melaporkan sesuatu kenyataan. Janganlah menulis sesuatu itu hanya separa benar,” katanya lagi – UMNO ONLINE