Muafakat Nasional Bukan Hanya Kerjasama UMNO-PAS, Bertindak Selaras Kepelbagaian Malaysia
KUALA LUMPUR, 15 Sept. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan bahawa UMNO-PAS sentiasa berpendirian bahawa apa jua kerjasama antara kedua-duanya, mestilah mengambil kira kemajmukan tanah air ini.
Katanya, selama ini pun UMNO dan Pas tidak pernah membelakangkan kepentingan pelbagai rakyat Malaysia dengan keturunan dan anutan berbeza.
“Dan kerana itulah, UMNO dan PAS telah bertindak selaras dengan kepelbagaian Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya hari ini.
Kerjasama UMNO dan PAS yang telah dipersetujui dan dilancarkan akan dikenali sebagai Muafakat Nasional.
Terdahulu dalam beliau menyebut, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa UMNO dan PAS akan menggunakan konsep permuafakatan nasional dan ramai yang menjangkakan ia akan digelar penyatuan ummah, sesuai sangkaan mereka bahawa ia adalah gabungan yang orientasinya ialah kaum dan agama semata-mata.
“UMNO dan PAS bukan parti setahun dua usianya. Banyak yang telah dilalui oleh kedua-duanya, baik sebagai Kerajaan mahupun sebagai pembangkang. Realitinya, UMNO dan PAS senantiasa berpendirian bahawa apa jua kerjasama antara kedua-duanya, mestilah mengambil kira kemajmukan tanah air ini.
“Kerjasama UMNO dan PAS semata-mata, tidak akan menjelmakan kemenangan politik yang diharapkan. Ini sangat difahami oleh kedua-dua parti. Untuk menjadi Kerajaan, UMNO dan PAS memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia, bukan hanya Melayu dan Islam. Selama ini pun UMNO dan PAS tidak pernah membelakangkan kepentingan pelbagai rakyat Malaysia dengan keturunan dan anutan berbeza.
“Dan kerana itulah, UMNO dan PAS telah bertindak selaras dengan kepelbagaian Malaysia,” Ujarnya.
Katanya, ada beberapa ciri yang mesti difahami kenapa UMNO dan PAS memilih menggunakan terma Muafakat Nasional, iaitu:
Pertama, ia bukan sekadar perikatan politik. Ia adalah permuafakatan yang lebih besar dari hanya sebuah persefahaman politik.
Maknanya, ia adalah ikhtiar nasional kedua-dua parti untuk menangani pelbagai isu negara rentas politik.
Ini termasuklah pendirian tentang pelbagai isu kemanusiaan, ekonomi, pendidikan, federalism, isu antarabangsa dan sebagainya.
Tujuannya ialah untuk mencetuskan ‘national discourse’ pada skala dan impak yang tidak pernah terlihat sebelum ini.
Negara ini tidak lagi boleh dibiarkan berkisar tentang politik personaliti. Dan ditentukan hala tujunya oleh hanya seorang Perdana Menteri.
Kita memerlukan wacana nasional pelbagai dimensi yang lebih agresif. Agar akhirnya, perjalanan negara ini ditentukan secara bersama. Bukan hanya aktor tertentu sahaja.
Semoga melalui Muafakat Nasional ini, akan terjelma, pelbagai pendirian yang mencerminkan pandangan pelbagai pihak.
Dan pendirian yang pelbagai ini akan diolah dan diperhalusi, dengan harapan dapat terbit akhirnya, muafakat bersama untuk kepentingan nasional.
Kedua, sifat persefahaman UMNO dan PAS ini ialah ia meraikan perbezaan. Ia tidak akan diikat dengan persefahaman yang mengikat dan sempit.
Ini kerana UMNO tahu PAS memang berbeza dan PAS pun tahu UMNO itu sangat berlainan.
UMNO wujud dengan nilai dan ideologinya. Begitu juga PAS dengan kepercayaan dan nilainya.
Jadi kedua-dua menyedari had dan keterbatasan masing-masing. Cuma kedua-duanya berikhtiar untuk mencari titik temu yang boleh melonjakkan ‘a national solution to a national issue’.
Ia tidak seperti perikatan politik yang lain. Semuanya terikat dengan keputusan bersama dan segala perbezaan itu, selalu dilihat sebagai melanggar semangat kerjasama politik.
Kerjasama yang terlalu ‘prescriptive’ sifatnya, akan menutup ruang kreativiti, kepelbagaian perspektif dan citra yang berbeza.
Ketiga, Muafakat Nasional ini luwes sifatnya. Ia bukan hanya eksklusif untuk UMNO dan PAS. Dan bukan sekadar kesefahaman parti politik.
Gelarnya pun sudah Muafakat Nasional. Maka ia akan membuka ruang dengan seluas-luasnya kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pelbagai pergerakan madani untuk bersama-sama UMNO dan PAS dalam membangunkan konsensus nasional dalam pelbagai isu.
Malah parti dari Sabah dan Sarawak, dan pelbagai pertubuhan sivil sangat dialu-alukan menyertai Muafakat Nasional ini.
Jadi kepada sesiapa di luar sana yang melihat kerjasama UMNO dan PAS ini hanya tentang Melayu dan Islam, mereka sangat tersasar.
UMNO dan PAS adalah jauh lebih ‘sophisticated’ dan tidak akan sama sekali terjerumus dalam perangkap kaum dan agama yang digambarkan oleh Pakatan Harapan.
Keempat, melalui Muafakat Nasional ini, segala keputusan dasar berdasarkan konsensus mestilah dihormati tetapi pelaksanaan keputusan tersebut terpulanglah kepada kebijaksanaan pelbagai pihak yang terlibat.
Konteks sesuatu dasar itu, mesti dilaksanakan sesuai kemampuan, keperluan dan kepentingan masing-masing.
UMNO dan PAS pastinya amat sedar bahawa Malaysia ini ada pelbagai cerita dan bukan hanya satu cerita.
Kemaslahatan di Terengganu tidak mungkin sama dengan di Selangor dan pasti jauh berbeza dengan Sabah dan Sarawak.
Lalu biarlah rakan-rakan gabungan Muafakat Nasional ini nanti menentukan kaedah bagaimana yang paling sesuai untuk melaksanakan konsensus bersama terhadap sesuatu dasar dan isu yang diputuskan.
Kesimpulannya, inti pati Muafakat Nasional ini, menawarkan perubahan yang drastik dalam tata kelola politik di negara ini
UMNO dan PAS sedang meneroka jalan yang tidak pernah diterokai sebelum ini.
Kepada semua rakyat Malaysia, berikan kesempatan untuk UMNO dan PAS menterjemahkan kerjasama yang disandarkan kepada Muafakat Nasional ini.
Jika ia tidak meyakinkan, anda boleh menolaknya dalam pilihanraya akan datang. Tetapi untuk tidak memberikan ia ruang bagi diperkenalkan, dinilai dan diuji, ia adalah petanda bahawa demokrasi Malaysia masih jauh dari dewasa dan berhikmah. – UMNO ONLINE