Jangan Mudah Terpengaruh Cubaan Gugat Kerjasama UMNO-PAS

ARAU 15 Sept. – Penyokong UMNO dan Pas diminta tidak mudah terpengaruh sebaliknya perlu sentiasa bersedia dalam berhadapan dengan pihak-pihak yang tidak senang dengan kerjasama di antara kedua-dua parti tersebut.

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hairi Nor Mohammed berkata, hal demikian dapat dilihat iaitu tidak sampai beberapa jam selepas UMNO dan Pas memeterai piagam kerjasama semalam sudah terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah.

Katanya, ini termasuk satu infografik palsu pelantikan pemimpin kedua-dua parti itu melalui media sosial sehingga mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan ahli Pas.

“Mereka akan melakukan apa sahaja untuk cuba memecah belahkan hubungan UMNO dan Pas. Kita perlu merapatkan saf agar dan tidak sesekali ‘goyang’ dengan pelbagai pihak yang pastinya berusaha untuk menggagalkan kerjasama tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Belum sampai tempoh 24 jam Pas dan UMNO menandatangani Piagam Muafakat Nasional semalam, satu infografik palsu dikesan disebarkan oleh pihak tertentu melalui media sosial.

Infografik yang tular selepas himpunan memeterai Piagam Muafakat Nasional Pas dan UMNO itu dilihat cuba memberikan persepsi buruk bahawa kerjasama kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu hanya menguntungkan UMNO berbanding Pas.

Menurut infografik itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diletakkan di kedudukan tertinggi sebagai penasihat, diikuti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut difitnah menggalas jawatan presiden gabungan tersebut.

Sementara itu, Noor Hairi berkata, kerjasama UMNO dan Pas sememangnya dinantikan khususnya oleh masyarakat Islam di negara ini.

“Apa yang pasti, kerjasama tersebut akan mengubah landskap politik di negara ini sekali gus memastikan kuasa kembali kepada orang Melayu dan Islam dalam pilihan raya akan datang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.