Poster Palsu: Ada Pihak Kepanasan, Cuba Pecahkan Muafakat Erat UMNO – PAS

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata poster yang diviralkan yang kononnya barisan jawatankuasa Pemasyhuran Piagam Penyatuan Ummah adalah palsu.

Justeru tegasnya ianya bukan dikeluarkan UMNO atau PAS dan harap rakyat tidak mempercayainya.

“Apa yang dipersetujui dan ditandatangani oleh Presiden UMNO dan Presiden PAS ialah Piagam MUAFAKAT NASIONAL.

“Maka dengan sendiri, menunjukan poster yang ditularkan itu tidak sebagaimana apa yang dilakukan oleh UMNO dan PAS”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong yakin poster tersebut bertujuan mengelirukan rakyat terutama ahli UMNO dan PAS.

Malah jelas Dr Shamsul Anuar lagi ianya dilihat sebagai usaha berterusan pihak tertentu yang ingin memecahkan muafakat erat UMNO dan PAS.

“Saya yakin UMNO dan PAS tidak terganggu dengan tindakan sebegini terutama oleh PH.

“Malah akan lebih kukuh muafakatnya melalui Piagam Muafakat Nasional”, ujarnya.

Beliau seterusnya percaya bersama rakan-rakan dalam BN, sahabat BN serta rakan-rakan PAS dalam Gagasan Sejahtera, UMNO dan PAS akan memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Saya juga percaya PH bimbang dengan apa UMNO PAS lakukan menerusi Piagam MUAFAKAT NASIONAL kerana itu mereka kepanasan ketika ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.