Pelihara Penyatuan Ummah

KUANTAN 14 Sept. – Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO dan Pas hari ini bukan suatu yang bersifat perkauman sebaliknya dilaksanakan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Kuantan, Huzaimi Ibrahim berkata, dalam mendepani dan menangani pelbagai kemelut yang melanda umat Islam ketika ini, seharusnya tidak ada pihak yang menentang penyatuan ummah antara dua parti Islam terbesar itu.

“Kita seharusnya berjiwa besar dan tidak wajar diserabuti pemikiran negatif dengan pelbagai andaian dan prasangka berhubung penyatuan ummah antara UMNO serta Pas.

“Marilah kita sama-sama berdoa demi kebaikan kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Huzaimi berkata, penyatuan ummah tidak akan tercapai jika masih wujud kebencian, hasad dengki dan permusuhan.

“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 10: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

“Kerjasama antara UMNO dan Pas dimeterai berpaksikan agama Islam tanpa mengetepikan atau mengabaikan kaum dan agama lain serta penyatuan ummah ini bakal menjadi tsunami politik membentuk kerajaan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.