Muafakat Nasional Penyatuan Untuk Seluruh Rakyat Malaysia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muafakat Nasional yang dimeterai hari ini antara UMNO dan PAS adalah suatu wadah bukan hanya untuk penyatuan kedua-dua parti tersebut tetapi penyatuan seluruh rakyat Malaysia yang diwakili oleh parti-parti politik selain daripada UMNO dan PAS.

Jelas beliau, permuafakatan ini diharapkan akan dapat memberi hasil kepada penyatuan Nasioal secara keseluruhannya.

“Hari ini cukup signifikan bukan hanya kepada UMNO dan PAS tetapi apa yang lebih penting inilah saat yang ditunggu oleh rakyat Malaysia dan tentunya apa yang digariskan adalah Perpaduan Nasional keseluruhannya.

“Oleh itu saya amat berharap agar kejayaan hari ini akan berpanjangan,” ujar beliau dalam sidang media selepas program menandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS di Dewan Merdeka, PWTC hari ini.

Ketika ditanya sejauh manakah kerjasama ini jelas Zahid, jawatankuasa perunding dan teknikal kedua-dua parti akan memperhalusi bukan sahaja perjanjian persefahaman untuk memperincikan piagam ini tetapi kepimpinan UMNO dan PAS dan apabila tiba masanya kelak akan diumumkan sesuatu yang akan diformalkan sebagai sebuah harapan politik.

Sementara itu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Haji Abdul Hadi berkata, apa yang berlaku hari ini (Muafakat Nasional) telah menempa sejarah dengan mengembalikan semula negara kepada asas yang betul iaitu sebagaimana yang disebut dalam piagam yang telah dimeterai.

“Apa yang disebut dalam piagam itu adalah meneruskan negara bermasyarakat majmuk yang kepimpinan Melayu Islam adalah saf kepada kepimpinan negara. Ini adalah satu asas politik yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Oleh kerana kita melihat apa yang berlaku kepada kepimpinan negara sekarang ini perlu diperbetulkan maka UMNO dan PAS merasa bertanggungjawab dalam memimpin rakyat kepada asas yang betul,” katanya.

Hari ini UMNO dan PAS mencatat sejarah yang cukup besar apabila mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan di Dewan Merdeka pada Himpunan Penyatuan Ummah. SUA UMNO dan PAS menjadi saksi kepada majlis tandatangan berkenaan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.