#HPU914 Terjemah Perpaduan, Bukan Ancaman

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung semalam hingga hari ini menterjemahkan penyatuan pelbagai bangsa dan bukannya ancaman sebagaimana diuar-uarkan.

Hal ini dijelaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menerusi kehadiran kepemimpinan serta ahli-ahli komponen Barisan Nasional (BN) serta Muafakat Nasional pada perhimpunan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau yakin penyatuan UMNO dan Pas menerusi himpunan tersebut memberi limpah rahmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan perjuangan penyatuan ummah kerana kita berjanji untuk mengembalikan kestabilan ekonomi, keharmonian dan kemakmuran negara pada rakyat Malaysia kerana itu adalah hak rakyat.

“Semoga Allah memberkati perjuangan ini dan memberi rahmat kepada Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan menyifatkan Himpunan Penyatuan Ummah sebagai penyatuan orang Melayu terbesar dalam demografi politik tempatan.

“Sambutan yang diberikan oleh kedua-dua parti serta ahli-ahlinya adalah amat luar biasa dan ini merupakan suatu pengorbanan yang amat besar oleh dua parti yang dulu tidak seiring berjalan, kini erat, mesra dan mempunyai matlamat yang sama untuk perpaduan ummah.

“Terima kasih atas kehadiran semua pihak dari seluruh tanah air, ” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.