Annuar Sebak Bacakan Piagam Muafakat Nasional
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Hampir tujuh dekad berjuang di landasan berbeza dan hari ini, UMNO dan Pas kembali bersatu. Mungkin kerana itulah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika membacakan Piagam Muafakat Nasional.
Malah, emosi Annuar itu turut dirasai oleh hampir kesemua peserta Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila mereka juga dilihat turut mengesat air mata dan menunduk menahan sebak.
Pelbagai reaksi dapat diihat di wajah para hadirin ketika Annuar membacakan piagam tersebut. Semangat berkobar-kobar, gembira, terharu, malah ada yang sedih mengenangkan rakan seperjuangan mereka yang tidak sempat menyaksikan sejarah baharu ini kerana sudah kembali kepada ilahi.
Perpaduan dan permuafakatan ini sudah sekian lama dirindui rakyat khususnya buat orang Melayu dan Islam. Ibarat adik-beradik yang lama berkelahi dan kini berbaik mengikut al-Quran dan as-sunnah.
Tidak terkecuali intipati Piagam Muafakat Nasional yang dilihat mampu membela rakyat daripada keperitan hidup dalam keadaan politik yang serba tidak kena. – UTUSAN ONLINE