UMNO Tidak Pernah Ajar Untuk Kurang Ajar… Provokasi PH Tak Mampu Gagalkan Penyatuan Ummah

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, parti keramat ini tidak pernah mengajar ahlinya untuk bersikap kurang ajar.

Justeru itulah jelas beliau, walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap penyatuan ummah antara UMNO dan PAS namun ia sedikit pun tidak memberi kesan dan sama sekali tidak akan mampu menggagalkan penyatuan ini.

“Yang menyeru untuk penyatuan adalah dua parti Islam terbesar UMNO dan PAS, yang terasa tamparannya adalah Pakatan Harapan (PH). Sebab itu kita dapat melihat mereka membuat pelbagai provokasi kerana mereka mahu melihat penyatuan ini tidak berjaya.

“Lagipun mereka ini pihak lawan kita, sebab itu mereka sentiasa memberi perspektif negatif kepada kita dan sebab itu mereka tidak selesa dengan apa yang kita buat walaupun ia perkara yang baik,” jelas beliau dalam sidang media selepas program Tadabbur Surah As-Saf anjuran Wanita UMNO dan Muslimat PAS bersempena Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) di PWTC hari ini.

Tambah Noraini, penyatuan UMNO dan PAS menawarkan keharmonian dan perpaduan tanpa mengenepikan bangsa lain.

“Apa yang kita tawarkan ini tidak ditawarkan oleh PH. Sebab itu mereka risau dengan kemaraan kedua-dua parti Islam terbesar di negara ini. Kekhuatiran itu yang membuatkan mereka buat pelbagai tuduhan dan andaian.

“PH harus tahu bahawa kritikan mereka tidak akan sama sekali menghalang kita dari penyatuan ummah ini,” tegas beliau.

Sementara ini Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, semua pihak tidak perlu gundah-gulana dengan penyatuan ini kerana ia adalah penyatuan yang berprinsip.

“PAS sedar yang kita lakukan ini bertepatan dengan suruhan Allah. Jadi kami ‘move forward’.

“Lagipun bukan sesuatu yang pelik bila UMNO dan PAS bersama. Dalam sejarah, masa nak tuntut kemerdekaanpun PAS bersama-sama dengan UMNO. Kita macam adik-beradik… bergaduh dan sekarang sudah berbaik sebab kita satu akidah, satu bangsa… berkongsi dalam banyak hal. Dalam adik-beradik kita pun ada yang PAS ada yang UMNO jadi takde yang pelik,” ujar beliau.

Untuk rekod, #HPU914 bermula hari ini dan ia dimulai dengan program zikir munajat, solat dhuha dan solat hajat yang telah berlangsung pada pukul 8.00 pagi tadi.

Himpunan Penyatuan Ummah UMNO-PAS yang julung kali diadakan berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan acara kemuncaknya berlangsung esok dengan pemetraian piagam yang akan ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.