Jual MyKad: Adakah Mereka Telah Didaftarkan Sebagai Pengundi?

KANGAR 13 Sept. – Isu menjual warganegara kepada rakyat China merupakan satu perkara serius yang perlu disiasat secara menyeluruh.

Selain pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terhadap isu penjualan dokumen pengenalan diri MyKad ini, beberapa aspek lain juga perlu diteliti seperti menyiasat adakah mereka juga telah didaftarkan sebagai pengundi.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya yang menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menyiasat perkara itu.

“Disamping menyiasat kes penjualan kad pengenalan ini, pihak polis dan SPR perlu menyiasat juga pendaftaran mereka sebagai pengundi.

“Adakah mereka ini telah didaftar, jika telah didaftar, di mana, bila dan siapa perantara untuk uruskan pendaftaran ini,” soalnya yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri di sini hari ini.

Kelmarin, polis mendedahkan berjaya membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China yang didalangi pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah namun didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei lalu.

Semalam, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd. Faizul Ariffin, 34, merupakan antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang berhubung sindiket penjualan sijil kelahiran dan MyKad sah kepada warga asing.

Sementara itu, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar turut berharap tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mereka yang disifatkan sebagai pengkhianat negara itu.- UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.