#HPU914: Jerebu Tak Halang Ribuan Rakyat Banjiri Ceramah Perdana

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Biarpun jerebu melanda dengan indeks bacaan IPU mencapai tidak sihat namun ia tidak menghalang ribuan rakyat tanpa mengira latar belakang ideologi politik dan perjuangan dari seluruh pelosok negara berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebagai tanda sokongan terhadap Himpunan Penyatuan Ummah.

Malam ini, para pendukung serta penyokong himpunan yang berpakaian putih mula membanjiri Plaza Merdeka, PWTC kelihatan bersemangat hadir di samping begitu teruja mahu mendengar amanat dari pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS terutama dari kedua-dua Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramah perdana.

Selain mereka, turut memberikan ceramah adalah Naib Presiden UMNO yang diwakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan kepimpinan UMNO serta PAS.

#HPU914 yang bermula pagi tadi ini dibuka dengan acara melibatkan Wanita UMNO dan Muslimat PAS yang mengadakan solat Dhuha, Hajat dan zikir munajat dan seterusnya program Tadabbur Surah As-Saf di mana Dewan Tun Hussein Onn yang menjadi lokasi acara dibanjiri peserta yang melimpah hingga ke luar dewan.

Menyusul kemudian ialah program Puteri UMNO dan Ameerah PAS yang sepakat menganjurkan ‘Pentas Anak Muda’ sebagai ruang untuk orang ramai khususnya golongan remaja mendekati dan mengetahui lebih lanjut tentang kedua-dua pergerakan terbabit.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid bersama kepimpinan parti dan PAS serta bekas Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut sama-sama menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Ustaz Shukri Ali dan buat julung kali Tuan Ibrahim menyampaikan khutbah di Surau Arrahman, PWTC.

Kemudian diikuti solat Hajat yang diimamkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Manakala sebelah petang tadi, berlangsung program wacana intelektual Penyatuan Ummah anjuran Penerangan UMNO dan PAS serta Townhall Anak Muda dari sayap pemuda kedua-dua parti.

Kemuncaknya, esok, Sabtu acara yang menjadi sejarah politik tanah air iaitu majlis menandatangani piagam UMNO PAS yang akan disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, PWTC, di sini.

Turut memeriahkan sepanjang dua hari ini ialah gerai jualan yang menyediakan pelbagai barangan dan cenderamata untuk di bawa pulang oleh para peserta sebagai kenang-kenangan selain ‘food-truck’ sebagai kemudahan kepada orang ramai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.