#HPU914: PWTC Mula Dibanjiri Peserta, Sokong Himpunan Penyatuan Ummah

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini yang menjadi lokasi Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) mula menjadi tumpuan khalayak yang menyokong penyatuan dan kerjasama antara dua parti terbesar Melayu Islam, UMNO dan PAS.

Seawal 7.00 pagi para peserta himpunan terbabit telah berada di PWTC dan jumlahnya dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

#HPU914 yang bermula hari ini dibuka dengan acara melibatkan Wanita UMNO dan Muslimat PAS yang mengadakan solat Dhuha, hajat dan zikir munajat dengan diketuai oleh Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Seterusnya program Tadabbur Surah As-Saff diadakan melibatkan perbincangan bersama antara dua ketua iaitu Wanita UMNO dan Muslimat PAS dengan Datuk Dr Mashitah Ibrahim selaku moderator. Dewan Tun Hussein Onn yang menjadi lokasi acara Tadabbur Wanita UMNO dan Muslimat PAS dibanjiri peserta yang melimpah hingga ke luar dewan.
Menyusul kemudian ialah program Puteri UMNO dan Ameerah PAS yang sepakat menganjurkan ‘Pentas Anak Muda’ sebagai ruang untuk orang ramai khususnya golongan remaja mendekati dan mengetahui lebih lanjut tentang kedua-dua pergerakan terbabit.

Pelbagai acara menarik yang melibatkan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat akan diadakan sepanjang dua hari himpunan ini berlangsung.

Turut diadakan ialah gerai jualan yang menyediakan pelbagai barangan dan cenderamata untuk dibawa pulang oleh para peserta sebagai kenang-kenangan selain ‘food-truck’ sebagai kemudahan kepada orang ramai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.