#HPU914: Pelaksanaan Himpunan Jadi Igauan Buruk PH – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) antara UMNO dan PAS yang bermula hari ini ternyata memberi igauan buruk kepada Pakatan Harapan (PH) sehinggakan tindak-tanduk mereka jelas menunjukkan betapa mereka ‘desperate’.

Jelas beliau, kerana itulah pelbagai kritikan negatif dikeluarkan sehingga perkara remeh berkaitan gegantung #HPU914 juga dijadikan isu.

“Tindakan mereka jelas menampakkan betapa ‘desperate’ dan takutnya mereka kepada penyatuan ummah sehinggakan menteri agama pun bercakap soal penyatuan ummah. Sepatutnya, menteri agamalah paling gembira melihat penyatuan ummat Islam tetapi kerana takutnya mereka tentang perpaduan ini yang akan meranapkan masa hadapan kerajaan yang ditunjangi oleh Dap maka bukan hanya menteri agama tetapi pemimpin lain terus-terusan mengkritik.

“Saya rasa penyatuan ummah ini adalah satu igauan buruk untuk mereka. Ini belum lagi esok (hari piagam ditandatangani) dan hari-hari berikutnya. Rasanya mereka akan lebih takut apa akan jadi kepada sokongan orang Melayu terhadap mereka,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ismail turut melahirkan perasaan terharu dan bangga melihat begitu ramai rakyat yang membanjiri PWTC bagi sama-sama menjayakan #HPU914 ini.

“Saya rasa ramai yang di luar sana sebelum ini merasakan bahawa program ini tidak akan mendapat sambutan, kerana ramai yang cuba memperkecilkan perpaduan ummah antara UMNO dan PAS.

“Tetapi lihatlah penerimaan baik rakyat pada hari ini, PWTC bukan sahaja diserbu oleh ahli UMNO dan PAS malah rakyat biasa pun datang untuk melihat program penyatuan ummah ini.

“Sebab itu kita pernah katakan dulu, perpaduan ummah ini bukan hanya satukan ahli UMNO dan PAS tetapi ia adalah gerakan kebangkitan rakyat terutamanya Melayu Islam yang pada hari ini rasa terhimpit dan orang Islam rasa terhina, orang Melayu rasa dipinggirkan dalam dasar kerajaan dan sebagainya. Inilah kebangkitan ummah yang mewakili suara rakyat jelata, bukan hanya sekadar UMNO dan PAS,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.