#HPU914: Hampir 5,000 Tunaikan Solat Jumaat Di Surau Ar-Rahman PWTC

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Hampir 5,000 umat Islam yang membanjiri Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman yang disediakan di sini.

Solat Jumaat diimamkan oleh Ust Shukri Ali sementara Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku khatib yang membacakan khutbah Jumaat.

Sejurus selesai solat Jumaat, jemaah yang hadir turut bersama-sama menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom memohon agar dipermudahkan urusan dan program Himpunan Penyatuan Ummah berjalan lancar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi, Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan kepimpinan UMNO yang lain serta pucuk pimpinan PAS turut sama menunaikan solat Jumaat dan solat hajat.

PWTC yang menjadi lokasi #HPU914 mula menjadi tumpuan khalayak yang menyokong penyatuan dan kerjasama antara dua parti terbesar Melayu Islam, UMNO dan PAS.

Seawal 7.00 pagi PWTC mula dikunjungi dengan kehadiran peserta yang memakai baju warna putih yang menjadi tema #HPU914.

#HPU914 hari ini dibuka dengan acara melibatkan Wanita UMNO dan Muslimat PAS yang mengadakan solat Dhuha, hajat dan zikir munajat dengan diketuai oleh Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Pelbagai acara menarik yang melibatkan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat akan diadakan sepanjang dua hari himpunan ini berlangsung.

Turut diadakan ialah gerai jualan yang menyediakan pelbagai barangan dan cenderamata untuk di bawa pulang oleh para peserta sebagai kenang-kenangan selain ‘food-truck’ sebagai kemudahan kepada orang ramai.

Esok akan berlangsung majlis tandatangan piagam kerjasama antara UMNO dan PAS yang akan ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti di Dewan Merdeka. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.