Baju #HPU914 Cukup Laris, Umpama ‘Pisang Goreng Panas’

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi tumpuan orang ramai sempena Himpunan penyatuan Ummah (#HPU914) bukan sahaja dipenuhi dengan pelbagai gelagat dan warna-warni mereka yang hadir, malah aksi para peniaga yang mengambil peluang menjual pelbagai produk termasuklah baju dan barangan lain turut menjadi tumpuan.

Baju dengan tema ‘Penyatuan Ummah’ dan masing-masing dengan ‘design’ tersendiri serta pelbagai barangan lain memenuhi ruang legar aras dua yang disediakan oleh pihak sekretariat untuk kemudahan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan terutama cenderahati sempena #HPU914.

Seorang peniaga Mohd Zulfadli Mohd Mustafa Kamal, 35 berkata sambutan yang diterima cukup baik dan pengunjung yang hadir mengambil kesempatan berkunjung ke gerainya yang terletak di pintu masuk aras 2.

“Alhamdulillah… rezeki tu adalah… orang ramai yang datang sempena #HPU914 cukup berminat mencari pelbagai barangan untuk dijadikan kenang-kenangan. Mungkin sebagai tanda hari bersejarah kerjasama UMNO dan PAS.

“Daripada awal pagi tadi jualannya Alhamdulillah…. saya jangkakan esok mungkin akan bertambah dan gerai saya menjual baju dengan harga yang amat berpatutan. Jomlah singgah. Gerai kami menjual baju, key chain, sticker kereta dan macam-macam lagi,” katanya.

Sementara itu bagi pengunjung yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Zul, 45 daripada Alor Setar menyifatkan gerai-gerai yang disediakan cukup menarik dan memberi peluang kepada para pengunjung untuk mendapatkan barang-barang sebagai tanda kenang-kenangan.

“Yalah… hari ini dan esokkan hari bersejarah buat kami pendokong kepada kerjasama penyatuan ummah ini. Alhamdulillah… saya pun dah beli dua helai baju sebagai tanda kenangan pada hari ini.

“Saya doakan semoga penyatuan ummah ini berjalan lancar dan dapat memberikan tawaran baru kepada rakyat. Saya percaya penyatuan ummah ini adalah untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Faedah yang menyeluruh,” ujarnya.

Tinjauan secara rambang UMNO-Online mendapati baju-baju yang bertemakan ‘penyatuan ummah’ cukup laris.

PWTC yang menjadi lokasi #HPU914 mula menjadi tumpuan khalayak yang menyokong penyatuan dan kerjasama antara dua parti terbesar Melayu Islam, UMNO dan PAS.

Esok akan berlangsung majlis tandatangan piagam kerjasama antara UMNO dan PAS yang akan ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti di Dewan Merdeka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.