PWTC Sedia Terima Tetamu #HPU914, Kehadiran Dijangka Melebihi 10,000 – Annuar

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Persiapan akhir menuju Himpunan Penyatuan Ummah yang akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini makin rapi dan boleh dianggap menuju kemuncak persiapan dengan sepenuhnya bersedia untuk menerima tetamu yang datang.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata pihak sekretariat bersama jawatankuasa PAS telah pun menjalankan  dan melaksanakan tugas-tugas akhir bagi menjayakan himpunan tersebut.

“Perhimpunan ini sudah tentu menjadi satu perhimpunan yang hanya bukan perhimpunan UMNO dan PAS kerana ianya adalah satu perhimpunan rakyat, satu perhimpunan penyatuan ummah yang terbuka kepada semua pihak malah kita menjangkakan kita akan menerima tetamu daripada kaum lain seperti Cina, India, Siam dan juga etnik-etnik di Sabah dan Sarawak serta sebagainya.

“Begitu juga para pemimpin di luar UMNO dan juga PAS kita jangkakan akan terima pemimpin NGO, persatuan, bekas hakim, bekas pemimpin, ada mufti dan sebagainya. Jadi ini satu perhimpunan yang cukup unik dan kita sebagai tuan rumah insya-Allah akan cuba berusaha untuk menjadikan perhimpunan seberapa baik yang boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Penyatuan Ummah anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi facebok UMNO-online, di sini, Rabu malam. Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan turut menjadi panel yang dihoskan oleh Datuk Dr Azizan Abd Majid.

Annuar memaklumkan jangkaan kehadiran pada awalnya 10,000 namun ia akan melebihi jangkaan tersebut.

“Sambutan yang diberikan rakyat dan masyarakat untuk bersama menjayakan perhimpunan bersejarah setakat ini adalah sangat memberangsangkan. Segala persiapan diatur dan penambahbaikan dibuat sebagai satu antisipasi kepada kehadiran yang ramai.

“Kita berdoa agar himpunan dua hari ini menjadi satu simbolik bagaimana umat dan rakyat harus dibawa ke arah satu penyatuan yang boleh mentransformasikan politik negara kepada satu keadaan yang lebih baik dan insya-Allah untuk membawa satu gagasan yang akan menyelamatkan agama, bangsa dan negara daripada segala kemelut yang kita hadapi sekarang,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.