Penyatuan Ummah UMNO-PAS Ibarat Adik Beradik Yang Kembali Bertaut

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, penyatuan ummah antara UMNO dan PAS ibarat hubungan adik-beradik yang terpisah lama kini bertaut kembali.

Jelas beliau, kerana itulah Puteri UMNO menyambut baik akan penyatuan ummah ini.

“Tarikh 13 dan 14 September ini adalah satu detik sejarah buat kami semua. Puteri UMNO yakin, penyatuan ummah antara UMNO dan PAS ini mampu menjadikan kita lebih baik untuk agama, bangsa dan negara.

“Sebab itu jugalah Puteri UMNO bersama dengan Ameerah PAS telah mengaturkan pelbagai program untuk anak muda pada 13 September ini nanti,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program wacana Himpunan Ummah yang bertajuk ‘Penyatuan Ummah, Apa Kata Orang Muda?’ malam tadi.

Wacana tersebut telah disiarkan secara langsung melalui laman Facebook UMNO-Online.

Tambah Zahida, pentas anak muda akan memulakan program yang diatur bersama-sama Ketua Ameerah PAS Malaysia, Zuraida Md Noor dan sesi ini akan membicara serta memperkenalkan peranan Puteri dan Ameerah.

“Puteri UMNO dan Ameerah PAS sepakat menganjurkan ‘Pentas Anak Muda’ sebagai ruang untuk orang ramai khususnya golongan remaja mendekati dan mengetahui lebih lanjut tentang kedua-dua pergerakan terbabit.”

Pentas Anak Muda ini diisi dengan program santai seperti persembahan seni mempertahankan diri, persembahan nasyid, persembahan fesyen dan tutorial memakai shawl namun yang lebih istimewa ialah acara sembang santai bersama ketua Puteri UMNO dan ketua Ameerah PAS.

Untuk rekod, 14 September ini adalah detik bersejarah di mana UMNO dan PAS bakal memeterai piagam penyatuan ummah yang akan ditandatangani oleh Presiden UMNO dan Presiden PAS.

Justeru, orang ramai khususnya ahli kedua-dua parti dijemput untuk hadir berhimpun di PWTC bermula 13 September dengan tema pakaian berwarna putih. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.