Malaysia Yang Lebih Berkebajikan, Berkemajuan… UMNO-PAS Tawar Penyelesaian Untuk Rakyat – Annuar

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Dengan termeterainya piagam muafakat antara kedua parti pada Sabtu ini, 14 September, akan bermulalah satu tempoh yang amat berat bagi UMNO dan PAS untuk berganding bahu berkongsi pengalaman dan sumber bagi menyusun atur satu jalan penyelesaian terbaik demi rakyat berbilang bangsa di negara ini, ujar Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, kedua pihak juga perlu gigih memerangi Islamphobia dan Melayuphobia yang cuba dilancarkan Dap.

“Pada masa yang sama UMNO dan PAS perlu memulakan ‘engagement’ dengan banyak parti, individu dan NGO (badan bukan kerajaan) yang bersefahaman untuk membentuk muafakat kebangsaan yang lebih inklusif dan lebih besar lagi.

“Serentak dengan itu kita akan memulakan penyediaan jawapan dan penyelesaian bagi mengatasi segala kegagalan dan kebobrokan kerajaan ‘kakistocracy’ Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.

Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, penyelesaian tersebut juga harus meliputi pelbagai perkara.

“Ini harus meliputi tatakelola kerajaan, ‘rule of law’, transformasi politik, ekonomi dan sosial, memurnikan demokrasi, membanteras penyalahgunaan kuasa politik yang semakin berleluasa, penyuburan dakwah dan pembangunan Islam, memperkasa hak Bumiputera, memuliakan semula Institusi Raja, mendaulatkan bahasa, merekayasa sistem dan acuan pendidikan negara.

“..menyusun semula konsep persekutuan, merangka pelan pembelaan generasi muda serta menyelesaikan saki-baki harapan dan janji palsu PH dan banyak lagi,” katanya.

Justeru itu tegasnya, tanggapan yang mengatakan piagam yang bakal ditandatangani itu hanyalah semata-mata piagam UMNO dan PAS serta berkenaan kerusi dan pilhan raya adalah salah sama sekali.

“Sabtu, 14 Muharam 1441 adalah permulaan ke arah agenda nasional yang baru untuk segera bermuafakat seluruh rakyat seluruh negara, untuk sama-sama kita menarik keluar ke jalan lebih baik sebelum kita diseret lebih jauh menuju kehancuran di bawah Pakatan Harapan..

“Dengan Izin Allah, berkat dokongan rakyat kita boleh melakukannya.

“Hulurkan tangan, kita bahu-membahu dengan penuh kasih saying (love), penyatuan (unity) dan saling menghormati (respect) membina Malaysia Kita yang berkebajikan lagi berkemajuan,” ulasnya lagi sambil diakhiri dengan Salam #HPU914. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.