KPM Jangan Ambil Mudah… Kaji Implikasi Masa Depan UniSZA, UMT Sebelum Gabung, Tegas Idris

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata cadangan penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) lahir dari sikap mengambil mudah kementerian pendidikan dengan alasan penjimatan, tanpa menghargai sejarah penubuhan dan implikasi kepada masa depan kedua-dua buah universiti tersohor tanahair itu.

Jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook, UniSZA dan UMT terbina dengan tujuan, sejarah dan falsafah mereka tersendiri.

“UniSZA yang terkenal dengan motto ‘Ilmu Demi Faedah Insan’ bermula dengan nama KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin), iaitu sebuah kolej yang berpaksikan kepada agama Islam dengan mengintegrasikan ilmu-ilmu konvensional untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi mempunyai nilai-nilai akhlak yang tinggi.

“Ia berakar-umbikan sistem pendidikan Islam tradisi Terengganu yang secara tidak langsung menjadi satu kebanggaan buat rakyat Terengganu keseluruhannya. Apatah lagi namanya diambil sempena nama seorang Sultan yang terkenal dengan peribadi yang wara’ dan berilmu pengetahuan yang tinggi iaitu Almarhum Sultan Zainal Abidin.

“Oleh itu apabila KUSZA dinaik taraf sebagai universiti, terdapat kesinambungan daripada falsafah ilmu dan penawaran kursus dengan penyesuaian ilmu semasa di bidang pengurusan, digital, perubatan, keusahawanan dan lain-lain,” katanya.

Manakala penubuhan UMT pula tambah bekas Menteri Besar Terengganu itu, ianya berasaskan kepada faktor unik negeri Terengganu yang sinonim dalam bidang maritim dan sumber-sumber yang berkaitan dengannya.

“Bermulanya sejarah UMT dari Fakulti Sains Samudera, seterusnya kepada KUSTEM (Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia) dan akhirnya UMT; universiti ini terus diberi mandat menerajui bidang Sains Marin dan Oseonografi hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Tak dinafikan, UMT sememangnya berpotensi memainkan peranan yang penting ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang disegani dunia.

“Melihat kepada signifikan sejarah ini, semasa menjadi Menteri Besar Terengganu; saya berusaha agar kedua-dua institusi ini dinaiktaraf sebagai dua buah universiti yang berasingan, walaupun ketika itu telah wujud cadangan agar kedua-duanya disatukan menjadi hanya sebuah universiti,” ujarnya lagi.

Begitu juga katanya, wujud tuduhan pihak-pihak tertentu bahawa idea penggabungan ini telah dimulakan oleh kerajaan terdahulu tetapi takut untuk melaksanakannya.

“Pandangan saya, tuduhan sebegini merupakan sikap orang yang pengecut memandangkan semasa menjadi Menteri Pendidikan Tinggi, kami telah berusaha merangka strategi peningkatan daya saing universiti dalam pelbagai bidang (Soaring Upwards) dengan pengurusan perbelanjaan yang cekap (cost efficient).

“Kami memperkenalkan konsep ‘collegiality dan commonality’ (permuafakatan) antara universiti. Konsep ini menggalakkan semangat guna sama, kolaborasi, kerjasama dan persaingan sihat antara universiti untuk memberi pendidikan terbaik kepada mahasiswa,” tambahnya.

Oleh kerana itulah, Idris berpandangan cadangan penggabungan ini sememangnya langkah yang amat mudah, namun ia bukanlah satu-satunya langkah terbaik untuk berjimat.

“Janganlah hanya kerana ingin berjimat sedikit; sejarah dan keunikan kedua-dua universiti ini terpaksa dikorbankan.

“Ternyata ia telah mula membangkitkan keresahan di kalangan kakitangan dan mahasiswa. Jangan dilupakan bahawa ‘core business’ universiti adalah untuk melahirkan graduan yang beridentiti.

“Oleh yang demikian saya menggesa agar pihak kementerian perlu berfikir panjang dan merancang dengan sempurna demi masa depan kedua-dua universiti tersebut,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.