#HPU914: Pertama Kali Bendera PAS Berkibar Bersama Sang Saka Bangsa Di PWTC

KUALA LUMPUR, 12 Sept. – Hari ini dalam sejarah…. Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) yang bakal bermula esok menyaksikan sejarah tercipta apabila bendera parti PAS mula berkibar bersama bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Inilah antara rentetan kebersamaan persefahaman UMNO-PAS apabila bendera kedua-dua parti melatari kawasan sekitar PWTC menjelang hari bersejarah demi agama, bangsa dan negara.

Lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Dewan Merdeka, PWTC bermula esok dengan acara kemuncaknya majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS.

Pengisian program bermula dengan zikir munajat oleh Wanita UMNO dan Muslimat PAS selain program bersama Puteri dan Ameerah PAS pada sebelah pagi.

Selepas solat Jumaat akan diadakan solat hajat dan kemudiannya disusuli ‘Wacana Intelektual Penyatuan Ummah’ anjuran Penerangan UMNO selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di Dataran PWTC.

Pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka PWTC yang menampilkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada keesokan harinya iaitu Sabtu, 14 September adalah hari kemuncak yang mana akan ditandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS oleh kedua-dua presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.