#HPU914: Beri Kerjasama Dan Ikut Peraturan Pastikan Himpunan Lancar – Annuar
KUALA LUMPUR 12 Sept – Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Tan Sri Annuar Musa berharap orang ramai yang akan menghadiri Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) esok akan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan bagi melicinkan perjalanan program berkenaan.
Menurut beliau langkah itu perlu bagi mengelakkan kesulitan dan sebarang masalah termasuk kesesakan lalu lintas dan sebagainya dalam usaha memastikan program berjalan dengan lancar.
“Kita berharap semua sekali memberi kerjasama sebaik mungkin dan mengikuti arahan-arahan yang diberikan oleh pihak kawalan lalu lintas.
“Saya difahamkan beratus-ratus bas dan kenderaan-kenderaan yang lain akan ke sini maka diharap agar peserta dapat hadir awal sedikit. Kita menggalakkan penumpang-penumpang menaiki LRT kerana ramai yang akan berpusu-pusu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Arahan-arahan telah dikeluarkan oleh UMNO dan PAS disetiap negeri-negeri untuk memaklumkan kepada konvoi-konvoi kenderaan supaya dapat menggunakan tempat-tempat yang telah ditentukan bagi menentukan kelicinan terutama sekali bas-bas… diharap dapat gunakan kawasan berhampiran Open Universiti, sekolah Indonesia sehingga ke Padang Merbok,” katanya semasa sidang media di Menara Dato’ Onn di sini, pada hari ini.
Sementera itu, Setiausaha Agung (SUA) PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengharapkan program HPU914 ini berjalan dengan lancar dan tiada sebarang perkara yang tidak diinginkan berlaku.
“Dua hari lagi yang kita tunggu ‘countdown’ dan program ini berjalan dengan lancar dan baik tanpa apa-apa perkara yang tidak diingini dan kita mengharap kerjasama dari pihak berkuasa.
“Persiapan telah berjalan dengan lancar bermula dari Julai hingga September termasuk siri jelajah seluruh negara untuk memberikan penerangan dan penjelasan.”
Katanya, PAS dan UMNO sentiasa memastikan perjalanan program mematuhi peraturan dan perundangan yang ada.
“Syukur Alhamdulillah… program ini berjalan dengan baik dan diterima secara meluas oleh rakyat Malaysia.
“Malam ini kita anggap ‘grand finale’ untuk program yang akan diadakan di Dewan Omar Din, Gombak. Program yang akan dihadiri oleh SUA UMNO, SUA PAS dan beberapa pimpinan UMNO dan PAS yang akan kita jelaskan beberapa isu yang ditimbulkan oleh beberapa pihak.” – UMNO ONLINE.