Gabung UMT, UniSZA: PH Gagal Mentadbir… Jangan Jadikan Pendidikan Dan Rakyat Mangsa

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Kegagalan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama menteri-menteri kabinet mentadbir negara dengan baik tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk meletakkan sektor pendidikan dan rakyat sebagai mangsa keadaan, tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Bidas Ahmad, keputusan kerajaan pusat menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia mahu menggabungkan dua buah Intitusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah satu tindakan ke belakang dan terburu-buru.

“Cadangan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan PH semata-mata tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan kesan-kesan negatif yang akan berlaku kepada kedua-dua universiti itu tidak dapat diterima.

“Umum sedia maklum UMT dan UniSZA mempunyai bidang pengajian berbeza di mana UMT berfokuskan penyelidikan dan Sains Marin manakala UniSZA pula berlatar belakangkan pengajian perubatan, Islamik dan pengurusan.

“Impak yang paling dirasai hasil daripada penggabungan ini ialah kakitangan universiti akan bertambah dan berlaku pertindihan tugas yang sama sekaligus ia akan mengakibatkan ada pekerja yang bakal diberhentikan terutamanya yang berstatus kontrak,” tegasnya, dipetik di Facebook peribadinya.

Malah katanya, cadangan penggabungan ini turut dibantah oleh 23,000 mahasiswa kedua-dua universiti dan satu perhimpunan bantahan akan dianjurkan pada hari ini oleh Majlis Perwakilan Pelajar universiti berkenaan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga menyarankan agar kerajaan pusat mewujudkan jawatankuasa khas bagi menambak baik kualiti universiti dan bukan bertindak secara semberono.

“Sepatutnya Kementerian Pendidikan wujudkan satu jawatankuasa khas dalam menaik taraf dan menambah baik kualiti universiti supaya setaraf dengan universiti ternama luar negara dan bukannya memberikan idea yang tidak masuk akal seperti ini.

“UniSZA sebelum ini dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan merupakan hak milik kerajaan negeri Terengganu.

“Kerajaan negeri pada ketika zaman Barisan Nasional telah menyerahkan kepada kerajaan pusat untuk dijadikan sebagai IPTA untuk mengembangkan lagi peranan institusi pendidikan tersebut,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal seterusnya mencadangkan agar diserahkan kembali pengurusan universiti yang terlibat kepada kerajaan negeri jika kerajaan PH tidak mampu menguruskannya.

“Jika kerajaan PH tidak mampu menguruskannya, saya mencadangkan adalah lebih baik mereka mengadakan perundingan untuk menyerahkan kembali kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagai satu jalan penyelesaian terbaik isu ini.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia dan menterinya YB Dr. Maszlee Malik mengkaji semula sedalam-dalamnya cadangan penggabungan yang terbukti tidak mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.