Ayuh Bersama Wanita UMNO Dan Muslimat PAS Jayakan #HPU914

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Pergerakan Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS sepakat menjayakan Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) dengan mengadakan program secara bersama tanda muafakat yang erat.

Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat, kedudukan atau ideologi politik untuk bersama-sama dalam program Tadabbur Surah As-Saff yang akan diadakan sebagai pembuka #HPU914.

“Sebelum program Tadabbur, kita akan sama-sama mengadakan solat Dhuha, hajat dan zikir munajat yang akan diketuai oleh Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, Tadabbur Surah As-Saff sangat menarik kerana ia akan melibatkan perbincangan bersama antara dua ketua iaitu Wanita UMNO dan Muslimat PAS dengan Datuk Dr Mashitah Ibrahim selaku moderator.

“Ini adalah ruang yang cukup menarik kepada khalayak untuk mengetahui kupasan secara langsung berkaitan hala tuju dan perjuangan Wanita UMNO dan Muslimat PAS serta memahami ikatan persefahaman antara dua parti ini,” katanya lagi yang juga ADUN Hulu Bernam.

Himpunan Penyatuan Ummah akan berlangsung selama dua hari dari 13 September dan kemuncaknya pada 14 September yang bakal menyaksikan kedua-dua parti menandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.