Anak Muda Sambut Baik Penyatuan Ummah… Wadah Terbaik Masa Hadapan – Ameerah

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ketua Pengarah Ameerah PAS Malaysia Zuraida Md Noor berkata, walaupun pada peringkat awal ramai yang menyangka akar umbi parti itu termasuklah Ameerah sukar untuk menerima penyatuan ummah antara UMNO dan PAS tetapi ternyata sangkaan tersebut meleset.

Jelas beliau, akar umbi Ameerah sebenarnya menyambut baik penyatuan kedua-dua parti terbesar Islam ini apatah lagi anak muda telah menyaksikan senario politik yang dilihat tidak memihak kepada mereka.

“Dengan janji yang tidak ditunaikan maka ia memberi kesan mendalam kepada anak muda. Sebab itulah anak muda hari ini telah bangkit memilih wadah di mana yang mereka fikirkan boleh membawa kepada kesejahteraan ekonomi dan kehidupan mereka.

“Ameerah juga yakin, penyatuan ini akan memberi hikmah yang baik kepada kedua-dua parti khususnya kepada anak muda. Sebab itulah Ameerah telah menyediakan pengangkutan untuk ahli kami ke PWTC bagi menjayakan program Himpunan Penyatuan Ummah yang bakal berlangsung pada 13 dan 14 September ini,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan wacana yang bertajuk ‘Penyatuan Ummah, Apa Kata Orang Muda?’ malam tadi dan siarkan menerusi Facebook UMNO-Online.

Tambah Zuraida, Ameerah sebenarnya mempunyai satu misi yang jelas iaitu memberikan pendidikan politik kepada anak muda.

“Kita mahu anak muda faham bahawa politik itu sebenarnya bersifat mulia dan harmoni, bukan seperti yang dimomokkan penuh dengan kejian, fitnah dan persepsi… tidak sama sekali.

“Dalam PAS terdapat tiga kumpulan anak muda iaitu Ameerah, Musaibah dan Bridget Muslimat. Bridget tertumpu kepada keselamatan dan badan beruniform manakala Musaibah tertumpu kepada NGO… lebih kepada kemanusiaan dan kebajikan. Ameerah pula fokus kepada menyatakan hasrat anak muda, memberi pendidikan politik sekaligus memberikan kesedaran politik kepada anak muda,” ujarnya lagi.

Mengupas lebih lanjut jelas beliau, di samping itu juga Ameerah turut membuat persediaan kepada pengundi 18 tahun.

“Kita mahu menerapkan patriotisme dalam jiwa anak-anak muda di mana kita tanamkan sifat sayangkan negeri, sayangkan tanah air, sayangkan bangsa dan paling penting sayangkan agama kita. Kita tidak mahu agama dan bangsa kita dijajah seperti apa yang berlaku pada hari ini. Jadi, paling penting mesej yang hendak disampaikan adalah kesedaran politik itu sangat sangat diperlukan untuk menawan anak muda,” jelas beliau.

Di zaman serba maju dan canggih ini Zuraida tidak menolak bahawa media sosial adalah salah satu cabang terbaik mendekati anak muda namun peranan guru-guru di sekolah juga penting.

“Sebab itu saya mencadangkan satu silibus khas pendidikan politik diadakan untuk pelajar tingkatan empat dan lima. Kita beri pendedahan awal apa itu politik, apa itu sistem pemerintahan sebenar mengikut Islam.

“Maka nanti bila tiba masa untuk mengundi mereka akan tahu pemimpin mana yang layak diangkat dan diletakkan ditempat sebenar,” terangnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.