Rakyat Mula Sedar Mereka Telah Ditipu Oleh Janji Manis PH


KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pensyarah akademik, Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, rakyat kini mula sedar bahawa mereka telah ditipu oleh pelbagai janji manis Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Jelas beliau, kerana itulah Barisan Nasional (BN) menang ‘hatrik’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau.

“Jika kita lihat pada PRU-14 yang lalu, tokoh-tokoh PH janji macam-macam dan amat menarik. Sebab itu golongan elit termasuk peneroka Felda turut terpedaya.

“Ketika itu ramai merasakan sudah sampai masa untuk menukar kerajaan. Sebab itu ramai yang berfikiran tidak salah mencuba dan kalau tidak boleh kita tukar semula.

“Sebagai pembangkang mereka boleh janji bulan dan bintang, tapi sekarang lain jadinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Wacana Himpunan Penyatuan Ummah yang bertajuk ‘Akar Pencetus Penyatuan Ummah’ bersama-sama dengan seorang lagi panel iaitu Ahli Geo Strategis Politik Dr. Azmi Hassan, malam tadi.

Wacana tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online dengan moderatornya Datuk Dr Azizan Abd Majid.

Kata Mohd Fuad, hari ini rakyat enggan lagi tertipu sehinggakan mereka mula mengimbas pelbagai video dan janji-janji lama pemimpin pembangkang dahulu.

“Kalau kita tengok di media sosial, semua ucapan pemimpin seperti contoh ucapan Anwar Ibrahim ‘hari ini kita menang esok minyak turun’ dimainkan semula sebab rakyat sudah sedar mereka telah ditipu oleh slogan DAN janji yang tidak boleh dipenuhi,” ujar beliau

Tambah beliau, ini semua adalah punca mengapa di PRK Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau para pengundi mengembalikan undi kepada BN.

“Ia ibarat amaran awal rakyat kepada PH, ‘tunggu kami pada PRU-15 jika kamu tidak berubah’.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.