Rakyat Merindui UMNO, Banyak Perbandingan Antara BN Dan PH – Mashitah

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata masyarakat hari ini dapat membuat satu perbezaan dan perbandingan yang sangat jelas antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, rata-rata rakyat masih mempercayai kepimpinan UMNO dan merindui apa yang dibuat oleh BN ketika dulu serta mengharapkan UMNO akan menang semula.

“Ini juga disebut sebahagian penyokong PH yang mula merasai keperitan daripada hasil pentadbiran PH hari ini,” ujarnya.

Mashitah menjelaskan dalam tempoh sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) UMNO akan kembali sebenar-benarnya sebagai parti perjuangan kerana segelintir yang menjadi liabiliti kepada UMNO telah keluar meninggalkan parti.

“Insya-Allah … UMNO akan diterima semula masyarakat seluruhnya. Saya lihat fasa dan hala tuju UMNO sehingga PRU akan datang adalah UMNO terus menjuarai isu-isu yang berkaitan Melayu dan umat Islam selain UMNO perlu melalui fasa penyuciannya dan juga fasa pembersihan dalaman parti.

“Apa yang berlaku pada PRU lalu adalah lebih kepada ‘marah seekor nyamuk kelambu dibakar’,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau menambah, hari ini tentunya semua pihak dapat melihat kesan marah dan kecewanya pada PH dan ingin melihat UMNO kembali memerintah.

“Kalau dulu cuma telahan semata-mata tapi pada hari ini orang dapat melihat kerajaan dulu dan kerajaan sekarang dan melihat perbandingan yang sangat jelas.” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.